Home Kemanusiaan/Motivasi BERSYUKURLAH DILAHIRKAN SEBAGAI SEORANG ISLAM- NIKMAT TERTINGGI IALAH NIKMAT ISLAM

BERSYUKURLAH DILAHIRKAN SEBAGAI SEORANG ISLAM- NIKMAT TERTINGGI IALAH NIKMAT ISLAM

175
0

Pernahkah kita terfikir mengapa kita dilahirkan sebagai seorang Islam? Mengapa semua orang tidak dilahirkan sebagai sebagai seorang Islam? Adakah kita mempunyai sahabat atau rakan mualaf? Lihat bagaimana mereka terpaksa berhempas pulas mengejar nikmat Islam demi mendapatkan jawapan yang sebenar. Bersyukurlah wahai umat Islam apabila kita dipilih oleh Allah SWT untuk dilahirkan sebagai orang Islam. Hal ini kerana nikmat tertinggi kehidupan dunia ini adalah nikmat menjadi orang Islam.

Seharusnya kita sedar bahawa hidup di dunia hanyalah sementara. Kesempatan yang Allah SWT berikan kepada kita untuk hidup di dunia ini sewajarnya diisi dengan berpegang teguh kepada akidah yang suci, akur akan segala perintah dan laranganNya serta RasulNya, mendekatkan diri dengan segala bentuk kebaikan serta menjauhkan diri daripada segala bentuk keburukan.

Islam dan Iman merupakan nikmat yang Allah SWT berikan kepada hamba-hambaNya. Kedua-dua nikmat tersebut malah lebih besar berbanding nikmat-nikmat yang lain. Oleh itu, kita sewajarnya mengucap berbanyak-banyak puji dan syukur ke hadrat Allah SWT atas kedua-dua nikmat ini. Allah SWT berfirman:

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah iman itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) hanya sebahagian daripada mereka yang (benar-benar) beriman. Kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.” (QS Ali ‘Imran: 110).

Oleh itu, kita seharusnya merasa syukur dengan nikmat Islam dan Iman yang telah dimasukkan sejak di alam rahim ibu kita dan dilahirkan sebagai seorang Islam berbanding rakan mualaf kita yang terpaksa menempuhi kepayahan dalam mencari sinar kebenaran. Dengan nikmat Islam dan Iman yang begitu berharga ini juga, akan mendidik serta mengajar kita erti syukur, sabar, redha, jujur, amanah, tawadhak (rendah diri), adil, bersih, tekun dan sebagainya.

Begitulah istimewanya nikmat Islam dan Iman yang memandu kita bagaimana menjalani realiti kehidupan hari ini, di samping itu juga mendorong kita supaya memandang dan memikirkan nasib kita kehadapan dalam mencipta kejayaan dan kebahagiaan, seterusnya apakah kesudahan kehidupan kita di negara akhirat yang kekal abadi nanti.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)