Home Ateis KEHIDUPAN BERAGAMA ADALAH PRINSIP PENTADBIRAN NEGARA YANG PERLU DIPATUHI WARGANEGARA MALAYSIA

KEHIDUPAN BERAGAMA ADALAH PRINSIP PENTADBIRAN NEGARA YANG PERLU DIPATUHI WARGANEGARA MALAYSIA

97
0

Malaysia dilanda oleh pelbagai gejala yang menggugat akidah umat Islam dan Perlembagaan itu sendiri. Antara gejala tersebut ialah ateisme. Ateisme merupakan satu kepercayaan yang menolak kewujudan tuhan kerana ia dipengaruhi oleh pemikiran-pemikiran liberal yang telah menyerap masuk ke dalam masyarakat Islam. Golongan ini mempertikaikan sejauh mana seseorang itu harus mempercayai keberadaan tuhan untuk dianggap sebagai ateis.

Hal ini bermakna, ateis muncul hasil daripada individu dan kelompok tertentu yang tidak bersedia untuk mengikuti agama-agama yang telah ada dengan alasan yang pelbagai dan subjektif. Oleh itu, terdapat juga yang menggelarkan ateis sebagai orang yang mencari tuhan. Misalnya di Malaysia, golongan yang mencari tuhan ini berpegang dan berpaksikan kepada hak asasi manusia serta terpengaruh dengan apa yang dipegang oleh negara-negara barat iaitu Universal Declaration of Human Rights 1948. Mereka meyakini bahawa manusia hanya dapat mengembangkan diri dan masyarakatnya melalui kebebasan dan kegiatan rasional atau dengan kata lain mereka tidak mempercayai tentang peranan tuhan dalam kehidupan mereka, sekaligus menolak kewujudan tuhan.

Hakikatnya, gejala ateis ini tidak diperlukan pun di Malaysia. Masyarakat Malaysia sudah sekian lama melalui norma hidup yang harmoni hasil wujudnya etika dan nilai baik yang terdapat dalam agama-agama yang ada. Bahkan, dengan adanya Perlembagaan dan bertepatan dengan syariat Islam serta selari dengan Rukun Negara yang pertama iaitu kepercayaan kepada tuhan, maka jelas bahawa penyebaran fahaman ateisme di Malaysia adalah tidak dibenarkan sama sekali kepada masyarakat, meskipun terdapat pelbagai justifikasi yang diberikan seperti dakwaan bahawa penolakan kepada agama akan membantu dan mendorong seseorang Muslim untuk bersikap lebih terbuka, maju dan lebih rasional. Nyatanya, kehidupan beragama dijadikan salah satu prinsip dalam pentadbiran negara jangka panjang yang dikenali sebagai Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS 2051).

Sumber: Jurnal al-Hikmah, Vol. 15(1) – UKM