Sebagai seorang Muslim, kita sudah diajar rasa bersyukur dengan apa yang ada di dalam hidup kita. Sifat syukur berada pada tahap tertinggi kerana tidak ramai yang mampu mencapai tahap syukur di atas semua anugerah diterima di dunia ini. Namun sayangnya, ramai di antara kita masih lagi mengeluh dengan keadaan hidup yang diuji dengan sedikit kesusahan.
Sesungguhnya Allah SWT mendatangkan ujian berupa musibah, kesakitan, keletihan, kegusaran, sehingga duri yang menyucuk sekalipun dan sesuatu yang menganggu kehidupan adalah sebagai kifarah (penghapus dosa) agar hamba-Nya sentiasa dalam rahmatNya. Sabda Rasulullah SAW:
“Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah akan menghapus kesalahan-kesalahannya.” (HR Bukhari).
Hadis di atas jelas menunjukkan rahmat Allah SWT akan sentiasa bersama-sama hambaNya ketika dalam ketaatan, manakala keampunan Allah SWT pula akan sentiasa bersama-sama seseorang hamba yang bertaubat ke atas kesilapan yang dilakukan. Kelebihan orang yang bersyukur dan sentiasa menghargai pemberian Allah SWT termasuk nikmat usia, kesihatan, harta benda, anak serta keluarga, akan merasa kebahagiaan hidup. Begitu juga, apabila diuji dengan kemiskinan, penyakit, masalah dan pelbagai rintangan lain, hati tetap sabar serta bersyukur kerana yakin setiap sesuatu itu ada hikmahnya. Allah SWT berfirman:
“Dan (sebaliknya) Allah memberi balasan pahala kepada orang yang bersyukur (dengan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya).” (QS Ali ‘Imran: 144).
Oleh itu, jadilah hamba yang bersyukur kerana mengetahui segala nikmat datangnya daripada Allah SWT dan menterjemahkan rasa syukur dengan menggunakan kurniaan itu pada jalan yang diredaiNya. Syukur itu tidak terhenti hanya di dunia sebaliknya haruslah berkekalan hingga ke akhir hayat supaya terhindar daripada sifat kufur terhadap nikmat diberi.
Sumber: Kolum Agama, Berita Harian (5 Disember 2019)