Home Kemanusiaan/Motivasi ISLAM ADALAH AGAMA KEDAMAIAN DAN KEADILAN. JANGAN CEMARINYA DENGAN KEGANASAN DAN KEZALIMAN

ISLAM ADALAH AGAMA KEDAMAIAN DAN KEADILAN. JANGAN CEMARINYA DENGAN KEGANASAN DAN KEZALIMAN

1510
0

Dalam fitrahnya, Islam adalah agama yang membawa keadilan, kedamaian, dan rahmat bagi semesta alam. Namun, akibat perbuatan segelintir puak-puak radikal yang ekstrim dengan menjadikan agama Islam sebagai alasan perjuangan, ia sedikit sebanyak telah mencemarkan imej agama suci ini. Maka, suatu perincian harus diperbetulkan agar tidak berlaku salah faham tentang Islam di kemudian hari.

Sesungguhnya Islam cintakan kedamaian dan bencikan keganasan. Islam yang bererti damai, selamat, sejahtera, penyerahan diri, taat dan patuh adalah agama yang membawa kedamaian, keselamatan dan kesejahteraan kepada kehidupan semua makhluk. Ini kerana sudah terang dan nyata Islam membawa kedamaian kerana perintah Allah yang banyak di dalam al-Quran menganjurkan kedamaian, larangan menumpahkan darah tanpa hak, tidak memaksa orang bukan Muslim memeluk Islam setelah disampaikan mesej Islam kepada mereka bahkan Islam mengajar kita supaya berhikmah dalam berdakwah.

Firman Allah SWT:

“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (QS An-Anfal: 61)

Oleh itu, memelihara kedamaian adalah sebahagian daripada tujuan penciptaan manusia sebagaimana ajaran Islam. Islam sebagai agama yang membawa rahmat ke seluruh alam amat mementingkan keadilan ditegakkan dan mengembalikan hak-hak golongan yang dizalimi serta teraniaya. Bagi menjaga keharmonian, perpaduan dan kestabilan negara, perkaraperkara yang perlu difahami oleh setiap masyarakat ialah konsep taaruf dan ta’awun.

Justeru, Islam bersikap tegas dan menganggap perlakuan yang mencetuskan perbalahan dan persengketaan adalah suatu kesalahan yang besar kerana ia menyanggahi maqasid al-Syariah. Muslim yang baik adalah yang sentiasa menjunjung ajaran Islam dan tidak pernah bertindak melainkan semuanya adalah tindakan yang baik. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

“Bertakwalah kepada Allah SWT di mana sahaja kamu berada dan balaslah keburukan dengan kebaikan dan berakhlak dengan manusia dengan akhlak yang baik.” (HR al-Tirmidzi)

Sumber: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)