Home Kemanusiaan/Motivasi BERSAMA MENJAGA KEHARMONIAN DAN KEAMANAN DALAM MASYARAKAT ADALAH SUATU TUNTUTAN DALAM ISLAM

BERSAMA MENJAGA KEHARMONIAN DAN KEAMANAN DALAM MASYARAKAT ADALAH SUATU TUNTUTAN DALAM ISLAM

1314
0

Masyarakat terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan agama memang menjadi cabaran kepada kebanyakan negara khususnya dalam mengurus kemajmukan sosial itu. Cabaran itu wujud, terutama dalam aspek membentuk keharmonian, keamanan dan interaksi positif antara kaum, agama serta budaya, sekali gus memerlukan pendekatan berhemah serta penuh rasa hormat.

Namun sebagai umat Islam, kita sudah diajar untuk memberikan penekanan kepada kedamaian hidup individu, baik daripada aspek fizikal dan mental seseorang, Islam juga melalui sistem hidupnya menggalakkan keharmonian masyarakat dan keamanan bersama agar semua manusia dapat menjalankan kehidupan di dunia dengan aman dan damai.

Firman Allah SWT:

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertaqwalah kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa Yang melanggar perintahNya).” (QS al-Maidah: 2)

Islam menyeru agar meletakkan sesuatu pada tempat yang sewajarnya, memberikan hak kepada yang berhak menerimanya serta menghukum manusia yang bersalah dengan hukuman setimpal tanpa membezakan antara manusia, antara perkara sangat ditekankan dalam ajaran Islam. Konsep persamaan dalam Islam perlu diasaskan kepada kenyataan bahawa kejadian manusia yang pelbagai etnik, bangsa dan keturunan adalah satu fitrah kehidupan yang perlu diterima oleh setiap insan.

Manusia diciptakan Allah dengan sebaik-baik ciptaan berbanding makhluk lain, bebas hidup dan meneruskan kehidupan. Hak itu tidak sedikitpun terhalang kerana berbeza agama, bangsa, keturunan atau minoriti dalam sesebuah negara. Hak persamaan diletakkan oleh Islam tidak berdasarkan kepada kedudukan mengikut jantina, keturunan atau bangsa. Setiap orang, lelaki atau perempuan, Islam atau bukan Islam, kaya atau miskin adalah sama.

Setiap orang akan diberikan ganjaran dan balasan sama atas perbuatan yang dilakukan. Maka jelaslah Islam tidak mengiktiraf perbezaan fizikal dan lahiriah seperti pangkat, keturunan, etnik dan warna kulit sebagai halangan untuk mendapat perhatian dan perhitungan yang sama daripada Allah.

Sumber: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Berita Harian “Hubungan kaum harmoni ikut perspektif Islam” (21 Disember 2018)