Home MURTAD SEMAKIN RAMAI GOLONGAN MUALLAF MURTAD DAN YANG MEMOHON UNTUK MURTAD KENAPA DAN...

SEMAKIN RAMAI GOLONGAN MUALLAF MURTAD DAN YANG MEMOHON UNTUK MURTAD KENAPA DAN SALAH SIAPA?

924
0

Isu murtad kali ini ditumpukan pada golongan muallaf yang baru memeluk Islam. Sebagai golongan yang baru hendak mendalami Islam, sokongan sosial daripada masyarakat Islam disekeliling adalah sangat penting kerana dalam tempoh ini menjadi penentu kepada pegangan agamanya pada masa hadapan.

Kita sedia maklum golongan muallaf ini terpaksa mendepani cabaran dan halangan yang datang seperti tentangan daripada keluarga yang bukan Islam, penerimaan masyarakat, masalah ekonomi dan sebagainya. Tekanan-tekanan ini dilihat sebagai antara faktor-faktor yang mendorong mereka untuk kembali semula ke agama asal. Oleh itu, penekanan akidah harus diberi perhatian bagi mengelakkan kemurtadan itu berlaku.

Sebagai inisiatif untuk membantu golongan muallaf ini, terdapat pelbagai pusat dakwah dan organisasi ditubuhkan untuk membimbing muallaf ke arah yang lebih baik, diberikan pendidikan mengenai agama Islam, menjaga hal ehwal kebajikan sama ada dari sudut ekonomi, tempat tinggal, pekerjaan, kelas-kelas pengajian dan sebagainya. Usaha-usaha ini walaupun tampak kecil, namun ia sangat memberi makna kepada muallaf tersebut kerana rasa diberi perhatian dan diberi sokongan dalam mendalami agama baru iaitu agama Islam. Perkara ini turut boleh membantu kepada penurunan kes-kes murtad dikalangan muallaf.

Walaupun hakikatnya juga penambahan peratusan muallaf murtad saban hari semakin bertambah, namun isu ini sangat menjadi kebimbangan di kalangan umat Islam kerana ianya satu amanah yang perlu dipikul bersama oleh pelbagai pihak. Namun, apa yang terjadi kepada masyarakat Islam kini tidak mempedulikan golongan ini yang sepatutnya dibimbing dan diberi pendedahan yang jelas berkaitan Islam kepada mereka mencederungkan mereka untuk kembali semula ke agama yang asal.

Sebagai salah satu usaha untuk membendung isu murtad dikalangan muallaf ini berleluasa, kajian semula terhadap undang-undang berkaitan murtad perlu dilakukan bagi memperolehi satu solusi yang terbaik. Dalam masa yang sama, kaedah untuk memperluaskan skop misi dakwah kepada golongan muallaf juga perlu dipelbagaikan dan diinteraktifkan supaya keindahan Islam itu lebih terserlah dan membantu memantapkan akidah dalam diri mereka. Apabila pemantapan akidah sudah berlaku, maka muallaf ini tidak lagi perlu khuatir untuk menghadapi apa sahaja cabaran pada masa hadapan kerana keyakinan terhadap pegangan agama Islam sudah meresapi jiwanya.

Sumber: Jurnal Sultan Alauddin Sulaiman Shah, (KUIZ), Special Issue, (2018).