Sesungguhnya manusia itu lahir ke dunia ini dengan adanya mawaddah dan rahmah iaitu cinta dan kasih sayang. Kita lahir ke dunia ini kerana wujudnya kasih sayang Allah yang bersifat Al-Rahman. Perasaan kasih dan sayang ini merupakan fitrah yang diciptakan dalam diri setiap manusia iaitu manifestasi daripada sifat Allah SWT, al-Rahman, iaitu Yang Maha Pengasih. Sesungguhnya atas sifat itulah manusia hidup di dunia ini dengan pelbagai nikmat yang telah dikurniakanNya tanpa mengenal bangsa dan keturunan.
Sabda Rasulullah SAW:
“Perumpamaan seseorang Mukmin sesama Mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi dan menyayangi seumpama satu badan. Apabila ada salah satu anggota badan yang menanggung kesakitan, maka seluruh anggota badannya akan turut terjaga (tidak akan tidur) dan terasa panas (merasakan sakitnya).” (HR Muslim).
Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim untuk sentiasa menyebarkan kasih sayang sesama Muslim lainnya. Ada banyak cara dalam menyebarkan kasih sayang antaranya:
- Memandang mukmin lainnya dengan penuh kasih sayang.
- Hadirkan rasa syukur yang mendalam, dari rasa syukur ini membangkitkan rasa sayang, rasa cinta, rasa indahnya tenggelam dalam kasih sayang Allah Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Wadud.
- Berbagilah sifat kasih dan sayang itu kepada semua mukmin dalam mewujudkan satu tali silaturahim yang lebih kukuh.
- Berdoa kepada mereka dengan hati yang ikhlas.
- Percaya dengan setiap balasan Allah SWT atas semua usaha kita dalam memberikan kasih sayang sesama mukmin.
Kasih sayang membentuk kehidupan masyarakat yang sejahtera. Daripada kasih sayang itu akan lahirlah sifat sabar, prihatin, bertolak ansur dan toleransi, lemah lembut, sopan santun, pemaaf dan banyak lagi sifat mahmudah dan nilai-nilai positif yang lain. Sesungguhnya atas sifat itulah manusia hidup di dunia ini dengan pelbagai nikmat yang telah dikurniakanNya tanpa mengenal bangsa dan keturunan.
Persaudaraan dalam Islam menuntut nilai kebersamaan iaitu saling memerlukan dalam apa jua keadaan. Saat bergembira akan dinikmati bersama begitu juga saat berduka tetap akan bersama mengharungi kesusahan serta keperitannya. Sebagai mukmin, menjadi kewajipan kita untuk saling tolong menolong di antara satu sama lain. Apatah lagi jika mereka memerlukan bantuan.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Laman Web UTM (people@utm)