Home Kemanusiaan/Motivasi PUPUKLAH SIKAP SALING MENGHORMATI AGAR KEHIDUPAN HARMONI DAN SEJAHTERA

PUPUKLAH SIKAP SALING MENGHORMATI AGAR KEHIDUPAN HARMONI DAN SEJAHTERA

2926
0

Sikap saling hormat-menghormati adalah salah satu sifat mahmudah atau sifat terpuji dalam Islam. Sifat saling hormat-menghormati ini harus ada kepada seseorang muslim yang mengaku beriman kepada Allah SWT. Sikap hormat-menghormati ini adalah antara ciri-ciri menampilkan seseorang yang berakhlak mulia.

Namun, akhir-akhir ini sifat saling hormat-menghormati ini telah mula terhakis sedikit demi sedikit daripada amalan umat Islam. Apabila hormatmenghormati ini sudah tiada, ia bukan sahaja akan menyebabkan kerosakan pada hubungan sesama manusia malah ia akan menyebabkan imej Islam itu akan dipandang negatif oleh pelbagai pihak.

Firman Allah SWT:

“Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah atau sombong) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong, takbur, lagi membanggakan diri.” (QS Luqman: 18)

Dalam negara Malaysia yang bermasyarakat majmuk, adalah menjadi cabaran bagi semua kaum yang menganuti pelbagai agama dan kepercayaan untuk hidup dalam keadaan rukun dan damai. Pergolakan sosiopolitik yang sentiasa wujud dalam negara yang bergerak maju mestilah diurus dengan penuh kebijaksanaan, keadilan dan ketegasan.

Justeru, sebagai Muslim yang berpegang teguh dengan ajaran al-Quran dan As-Sunnah, kita seharusnya memupuk sikap saling hormat-menghormati agar kehidupan masyarakat sentiasa sejahtera. Sebagai tanda berimannya seseorang itu adalah dengan saling hormat-menghormati sesama masyarakat dan sekelilingnya. Dengan saling hormat-menghormati ini, setiap masyarakat itu akan hidup dengan rukun damai dan harmoni. Masyarakat yang hidup harmoni akan mampu melaksanakan tanggungjawab bersama dalam membangunkan masyarakat seterusnya akan menggembirakan kehidupan bermasyarakat sesama mereka.

Sumber: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)