Hizbut Tahrir merupakan satu ideologi yang mungkin kelihatan ideal dari sudut prinsipnya, namun dari sudut pelaksanaannya ia mungkin tidak mampu dicapai khususnya dalam dunia yang bergolak pada hari ini.
Penilaian mereka terhadap beberapa konsep dalam Islam juga menimbulkan banyak kekeliruan. Antaranya adalah pembentukan akhlak yang dianggap tidak perlu dalam membangkitkan umat Islam. Bagi mereka umat Islam hanya akan bangkit melalui akidah yang diyakini, fikrah yang dipikulnya dan undang-undang yang diterapkan. Sedangkan akhlak dilihat begitu penting dalam kebangkitan umat, tanpa akhlak yang mulia, seseorang tidak mampu menjadi insan yang dikasihi Allah S.W.T.
Berdasarkan peristiwa-peristiwa yang pernah terjadi, mereka sanggup membuat kacau di majlis-majlis ilmu agama tanpa adab dan akhlak. Hizbut Tahrir cepat memfitnah umat Islam dengan pelbagai gelaran seperti Jabariyyah, Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah kumpulan terhina dan lain-lain.
Jabatan Agama Islam Selangor telah memberi penjelasan mengenai penyelewengan fahaman Hizbut Tahrir yang bertopengkan perjuangan menegakkan Khilafah Islam. Ajaran Hizbut Tahrir dikatakan lebih radikal daripada gerakan yang lain yang mendakwa memperjuangkan Islam yang syumul.
Melalui pendekatan-pendekatan dakwah Hizbut Tahrir tersebut, pemikiran dakwahnya merupakan suatu pemikiran yang baru dibawa melalui pendekatan peperangan pemikiran semata-mata. Praktikalnya adalah mengenepikan aspek-aspek yang sepatutnya diberikan perhatian seperti pembentukan akhlak, pelaksanaan amar makruf nahi mungkar.
Kesimpulannya, Hizbut Tahrir tidak memperjuangkan dakwah Islam yang syumul (lengkap) sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W sebagaimana yang dicanangkan mereka, bahkan pendekatan yang digunakan oleh mereka juga dilihat kurang sesuai dengan keperluan semasa. Apa yang dicanangkan bagi membangunkan Daulah Islam hanyalah laungan semata-mata sedangkan Jemaah mereka tidak mengikut cara Islam secara keseluruhannya.
Sumber: Jurnal Akademi Islam, KUIS- Sorotan Pemikiran Dakwah Hizbut Tahrir