Home Kemanusiaan/Motivasi JAGALAH PERPADUAN DAN TOLAKLAH EKSTREMISME DEMI KEHARMONIAN DAN KEAMANAN NEGARA

JAGALAH PERPADUAN DAN TOLAKLAH EKSTREMISME DEMI KEHARMONIAN DAN KEAMANAN NEGARA

677
0

Salah satu perkara yang amat sukar dihadapi oleh umat Islam pada masa kini adalah perpaduan. Ya, perpaduan, kerana zaman kini semua pihak mengambil jalan mudah seperti ungkapan “jaga kubur masing-masing”. Ramai antara kita tidak sedar kerana perbuatan itulah fahaman ekstremisme mudah meresap ke dalam jiwa kita tanpa sesiapapun hiraukan.

Islam telah mengajar umatnya akan kepentingan ukhuwah (persaudaraan), perpaduan, kasih sayang, kesejahteraan, keselamatan dan keadilan untuk umat sejagat tanpa mengira latar belakang bangsa, warna kulit, bahasa mahupun taraf atau kedudukan pangkat dan sebagainya. Perpaduan juga adalah hadiah tidak ternilai harganya yang mesti dipelihara dan dihargai semua rakyat di negara berbilang kaum seperti Malaysia. Ini sebagaimana firman Allah SWT:

“Bertakwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu, serta taatlah kepada Allah dan RasulNya, jika betul kamu orang-orang yang beriman” (QS Al-Anfal:1).

Dalam surah yang lain, Allah SWT juga berfirman:

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.” (QS Ali Imraan: 103)

Di kala ini, tugas paling mendesak bagi semua rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik adalah untuk memastikan keharmonian antara kaum dan agama dan menolak semua bentuk ekstremisme yang boleh merosakkan keamanan dan keharmonian antara kaum dan agama. Adalah menjadi mustahak bagi semua pihak memajukan perjuangan bangsa Malaysia hingga menjadi bersatu-padu. Setiap orang mempunyai peranan untuk dimainkan dengan memberi penekanan lebih besar kepada gagasan kesatuan dan kebersamaan Malaysia berdasarkan nilai dan kebajikan hebat yang diajarkan semua agama dan kaum, bukannya menggunakan dan mengeksploitasi sentimen etnik.

Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan patriotik, menjadi tugas besar kita untuk bekerja demi keamanan dan keharmonian dan menahan diri daripada tindakan provokasi dan keganasan yang akan mengakibatkan konflik dan kekacauan.

Sumber: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Berita Harian “Bersama bina jambatan perpaduan, tolak ekstremisme” (5 Januari 2021)