Home Kemanusiaan/Motivasi TINGGALKAN PERKARA YANG TIDAK BERMANFAAT

TINGGALKAN PERKARA YANG TIDAK BERMANFAAT

1943
0

Dalam satu hari Allah SWT mengurniakan kita 24 jam untuk menguruskan kehidupan seharian. Akan tetapi yang namanya manusia biasa, pasti tidak akan cukup dengan masa tersebut. Di dalam 24 jam, masih ada yang meninggalkan amal ibadah seperti solat fardhu, zikir dan bermunajat kepada Allah. Mereka lebih gemar melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan perkara yang kerap kita lihat adalah melekat di telefon bimbit dan menghabiskan masa untuk perkara yang tidak mendatangkan faedah di dalam hidup.

Daripada Abu Hurairah RA beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda:

“Di antara kesempurnaan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak berkaitan dengannya (tidak berfaedah baginya).” (HR Tirmidzi: 2318)

Ya, memang benar teknologi merupakan sebahagian keperluan dalam hidup manusia, akan tetapi adakah kita perlu terlalu fokus hingga mengganggu urusan lain termasuk urusan ibadah? Seorang mukmin hanya dianggap elok, indah dan berakhlak tinggi apabila dia hanya melakukan perkara yang berfaedah dan meninggalkan perkara yang tidak berfaedah. Antara sifat seorang muslim yang berakhlak adalah sentiasa menyibukkan dirinya dengan perkara yang mulia dan bermanfaat serta menjauhkan perkara yang hina dan rendah moral. Menyibukkan diri dengan sesuatu yang tidak bermanfaat dan berfaedah adalah sia-sia apatah lagi jika membawa kepada dosa dan maksiat.

Firman Allah SWT:

“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (QS Al-‘Asr: 1-3)

Ingat, jangan sesekali lalai dengan perkara yang tidak berfaedah dan membuang masa. Allah SWT memberikan kita 24 jam dalam kehidupan untuk beribadah kepadanya, mengapa kita harus membuang masa dengan bercakap kosong, menulis, menghabiskan masa bermain game, duduk lepak dan menjaga tepi kain orang kemudian memberi komen yang negatif serta memfowardkan sesuatu yang tidak mendatangkan pahala? Bukankah lebih bagus kita menggunakan masa yang ada untuk memperbanyakkan lagi amal ibadah serta perbuatan jariah. Ramai di antara orang yang meninggal dunia memohon kepada Allah agar dihidupkan semula semata-mata untuk memenuhi ibadah yang ditinggalkan semasa hayat mereka.

Sumber: Koleksi Hadis Jimaain Safar (https://people.utm.my/ajmain/2019/12/20/tinggalkan-perkara-yang-tidak-bermanfaat/)