Pemikiran liberalisme itu menganggap agama sebagai penyebab kemunduran dan pandangan mereka ini konsisten di mana-mana negara sama seperti fahaman sarjana Barat yang menganggap agama sebagai penyebab kemunduran dan meletakkan kebebasan sebagai prinsip tertinggi dalam kehidupan bernegara berbanding agama.
Golongan liberal juga menganggap agama adalah belenggu utama dan berlaku pendewaan akal manusia sebagai penentu segala-galanya. Jadi mereka mencanangkan kemerdekaan daripada agama, Tuhan dan wakil Tuhan. Naratif mereka kononnya kemajuan sesuatu yang pasti dengan berpegang dengan fahaman liberal, sebaliknya dengan adanya pemerintahan agama, kemunduran akan berlaku.
Sebagai contoh baru-baru ini tular isu seorang mantan Timbalan Pengerusi BERSIH, Sarajun Abdul Hassan yang mencadangkan supaya Islam dibuang sebagai agama rasmi mendahului lapan lagi cadangan-cadangan lain yang nampaknya menyalahkan Islam sebagai punca utama Malaysia mundur dan tidak maju setanding negara lain. Pemikiran yang ditunjukkan beliau kelihatan sangat dangkal dan berniat jahat atas sentimennya yang bencikan agama. Dakwaan ini adalah sangat keterlaluan kerana secara tidak langsung ia telah menjatuhkan maruah agama Islam itu sendiri memandangkan dirinya seorang yang beragama Islam.
Sedarlah bahawa Islam tidak pernah menyebabkan kemunduran, malah agama ini berjaya melahirkan saintis Muslim hebat yang memberi sumbangan kepada peradaban dunia, sekaligus menunjukkan ilmu pengetahuan sentiasa dititikberatkan dalam agama wahyu. Tidak pernah ada pertembungan antara Islam dengan sains. Malah agama Islam sendiri sentiasa menggalakkan umatnya supaya berfikir dan meneroka segala bidang ilmu yang diturunkan oleh Allah di muka bumi ini demi untuk kebaikan manusia, sekaligus ianya amat jauh berbeza dengan pandangan golongan liberal yang menganggap agama bakal membelenggu manusia.
Nikmat mana lagikah yang engkau dustakan wahai umat Islam?
Sumber: Samudera.my 26 April 2021 dan News Strait Times Press, 10 Sept. 2018.