Home Kemanusiaan/Motivasi TIDAK MEMUDARATKAN DIRI SENDIRI DAN JUGA ORANG LAIN ADALAH SEBAHAGIAN DARIPADA TUNTUTAN...

TIDAK MEMUDARATKAN DIRI SENDIRI DAN JUGA ORANG LAIN ADALAH SEBAHAGIAN DARIPADA TUNTUTAN SYARAK

2202
0

Semalam Malaysia mencatatkan kes harian Covid-19 yang paling tinggi dalam sejarah, iaitu sebanyak 6,806 kes. Satu catatan yang tinggi dalam sejarah perubatan Malaysia semenjak pandemik Covid-19 melanda negara, pelaksanaan SOP yang ketat telah diwartakan oleh Kerajaan. tetapi apa yang kita lakukan? Ada di antara kita yang masih sahaja mengambil mudah pelaksanaan ini dengan membahayakan diri sendiri dan juga orang lain. Tahukah kita perbuatan itu berdosa dan dimurkai Allah SWT?

Artikel ini bukan sahaja ditujukan kepada warga marhaen tetapi manusia-manusia yang menganggap mereka ini warga “kayangan”, yang kebal daripada undang-undang manusia namun bebal terhadap undang-undang Allah SWT. Kita sudah tahu negara malah dunia sedang berhadapan dengan ancaman pandemik besar, mengapa masih ada antara kita yang bersikap pentingkan diri dengan mendedahkan diri ke sana ke mari? Selepas itu dengan bangga memuat naik ke dalam media sosial tanpa rasa bersalah? Sabda Rasulullah SAW:

“Tidak boleh melakukan perbuatan yang mudarat dan dan tidak boleh memudaratkan orang lain. (HR Ibnu Majah)”

Mengapa harus meletakkan risiko ke atas diri sendiri dan orang lain? Bukankah Islam secara tegas melarang perbuatan berbahaya dan memberikan kemudaratan kepada orang lain di persekitarannya, sama ada keluarga, masyarakat mahupun rakyat di negaranya tanpa mengira perbezaan agama? Sudah terang dan nyata, Islam menolak sebarang bentuk kemudaratan sama ada kepada diri sendiri mahupun kepada orang lain.

Melakukan kemudaratan kepada diri sendiri seperti mendedahkan diri kepada penyakit dengan pergi ketempat yang berpotensi tersebarnya virus adalah dilarang. Akhirnya, ini yang terjadi, semakin hari kes harian Covid-19 semakin meningkat dan tidak mustahil ia mampu mencecah 10 ribu sebagaimana yang diramalkan. Mengapa? Mengapa kita semua ini terlalu mementingkan diri? Pentingkan diri sendiri hingga memudaratkan orang lain! Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa membahayakan orang lain, maka Allah akan membalas bahaya kepadanya dan barangsiapa menyusahkan atau menyulitkan orang lain, maka Allah akan menyulitkannya.” (HR Baihaqi dan Hakim)

Ingatlah, hidup ini bukan hanya hak kita seorang sahaja. Masih banyak nyawa-nyawa lain yang perlu difikirkan. Cubalah jadi seorang Muslim yang bertimbang rasa dan tidak terlalu mementingkan diri sendiri hanya kerana nafsu. Jangan diluar sahaja berpakai litup, berniqab, berjubah dan beserban, tetapi akhlak tidak seindah yang dikhabarkan.

Sumber: Facebook page Masjid At –Taqwa Taman Kota Masai