Home Kemanusiaan/Motivasi MELAKUKAN SESUATU AMALAN HANYA SEMATA-MATA IKHLAS KERANA ALLAH ADALAH SYARAT UNTUK DITERIMA...

MELAKUKAN SESUATU AMALAN HANYA SEMATA-MATA IKHLAS KERANA ALLAH ADALAH SYARAT UNTUK DITERIMA AMAL DAN MENDAPAT KECINTAAN ALLAH SWT

1176
0

Setiap daripada kita sudah pasti menginginkan rahmat dan keredhaan Allah SWT di dalam hidup. Namun apakan daya, sebagai manusia kita sering terkhilaf kerana terlalu alpa dan leka memburu cinta duniawi berbanding cinta Allah SWT. Sesiapa yang cinta kepada Allah pasti hatinya tenang dan damai. Cinta Allah tidak dinodai. CintaNya tidak akan mengecewakan sesiapa yang mendambakanNya. Siapa yang tulus cinta kepadaNya pasti akan dibalas dengan balasan yang baik dan tidak akan rugi sama sekali. Sabda Rasulullah SAW:

“Allah Ta’ala telah berfirman: ‘Sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling mencintai kerana Aku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling merapatkan barisan kerana Aku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling mengunjungi kerana Aku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling berkorban (untuk membantu yang lain) kerana Aku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling menolong kerana Aku.'”(HR Ahmad: 18621)

Lihat, betapa besarnya kekuasaan Allah SWT dan cintaNya kepada hamba-hambaNya tiada batas malah melebihi rasa murkaNya. Setiap Muslim berhak mendapat kecintaan Allah SWT apabila:

  1. Saling mengasihi kerana Allah SWT.
  2. Saling merapatkan hubungan (ukhuwah) kerana Allah SWT.
  3. Saling menziarahi kerana Allah SWT.
  4. Saling berkorban (untuk membantu yang lain) kerana Allah SWT.
  5. Saling bantu membantu dan tolong menolong kerana Allah SWT.

Kita tidak perlu bersusah-payah atau bekerja keras untuk mendapat cinta, kasih-sayang dan keredhaan Allah SWT. Cukup dengan melakukan sedikit kebaikan dan niat hanya semata-mata kerana Allah SWT sudahpun melayakkan diri kita menerima kecintaan daripada Allah SWT. Ini adalah kerana pada padangan Allah SWT, orang yang berhak mendapat kecintaan daripada Allah SWT adalah orang yang melakukan amalan yang ikhlas keranaNya.

Maka dengan itu, hargailah peluang ini dengan sebesar-besar kesyukuran kerana bukan semua umat mampu merasai kasih sayang yang sebenar-benarnya daripada Allah SWT. Ini kerana kasih sayang Allah SWT itu melangkaui daya fikiran manusia. Firman Allah SWT:

“Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula sangat belas-kasihan akan hamba-hambanya.” (QS Al-Baqarah: 207)

Sumber: Majlis Islam Sarawak (MIS)