Sebagai seorang Muslim yang dilahirkan dalam Islam, perkara utama yang diajarkan kepada kita adalah tentang mengerjakan kewajipan di dalam agama dan juga menjaga hati dan akhlak serta adab.
Kebaikan seseorang bukan kerana kesempurnaan fizikalnya maupun kekayaan harta benda yang dimilikkinya, tetapi pada kualiti hati dan mutu perbuatan hambanya (akhlak) yang menjadi ukuran kebaikan seseorang. Hati seharusnya menjadi perhatian utama daripada lahiriah. Baiknya hati akan mengakibatkan kepada baik pula amalan lainnya (akhlaknya). Hati yang bersih akan menyebabkan amalan yang lain yang akan diterima oleh Allah SWT. Berbeza pula jika seseorang memiliki hati yang rosak, terutama hati yang tercampur noda syirik yang akan menyebabkan akhlak dan amalannya juga menjadi rosak dan buruk. Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah tidak melihat pada bentuk rupa dan harta kalian. Akan tetapi, Allah hanyalah melihat pada hati dan amalan kalian.” (HR Muslim)
Itulah yang diperturunkan oleh junjungan besar kita, Rasulullah SAW sehingga ke hari ini. Namun, dengan perubahan zaman ditambah lagi dengan kemajuan teknologi siber membuatkan masyarakat menjadi semakin buta hati hingga hilangnya adab, akhlak dan tatasusila. Sabda Rasulullah SAW:
“Sesuatu paling berat ditimbang oleh Allah ditimbangan-Nya ialah akhlak yang baik.” (HR Tirmizi).
Cuba kita lihat di platform media sosial, tidak kira umur, bangsa dan agama, kebanyakan daripada kita ini berkomentar dengan secara agresif hingga terpacul kata-kata nista yang tidak molek diperhatikan. Apa yang lebih menyedihkan, rata-ratanya adalah umat Islam! Mengaku Islam tetapi menghina, mencarut dan mencaci maki?! Ini bukan ajaran agama kita. Itu yang terzahir di media sosial, bagaimana pula dengan akhlak di luar media sosial? Jangan terkejut kalau dikatakan ianya ada. Sudah banyak beberapa kes kejadian tidak berakhlak yang dipertonjolkan kepada kita. Mempersendakan warga emas, menimbulkan kekecohan, menganggu ketenteraman awam dan banyak lagi. Inilah keruntuhan akhlak manusia yang semakin membimbangkan.
Umat Islam wajib mempunyai budi pekerti yang mulia sebagaimana yang dicontohkan Nabi Muhammad SAW. Baginda adalah sebaik-baik contoh yang boleh diikuti dan dijadikan tauladan. Sudah menjadi kewajipan bagi mereka yang mengaku Muslim untuk berakhlak mulia. Mereka bergaul dengan masyarakat penuh lemah lembut dan bertolak ansur, pintar dan berintegriti. Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang terpuji.” (QS al – Qalaam: 4)
Ingatlah bahawa setiap umat Islam adalah duta kepada agama Islam. Allah SWT amat menyayangi umatNya yang sentiasa elok budi dan pekerti. Jangan sesekali merosakkan reputasi agama dengan kelakuan kita.
Pergi ke kedai membeli kelapa,
Sambil bermain layang-layang,
Biar tak elok paras dan rupa,
Hati dan adab yang baik Allah sayang.
adabisnumber1
Sumber: Harian Metro (4 Mac 2021)