Sebagai seorang Muslim yang taat akan perintah agamanya, kita sudah diperintahkan untuk meninggalkan perkara-perkara yang tidak bermanfaat dan segera untuk melakukan kebaikan dengan mencari seberapa banyak mungkin pahala. Seseorang mukmin dikira elok, indah dan tinggi akhlaknya apabila beliau hanya melakukan perkara-perkara yang berfaedah dan meninggalkan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Di antara perkara-perkara yang tidak bermanfaat itu adalah:
- Bercakap kosong.
- Berhibur dengan hiburan yang melalaikan.
- Duduk di jalanan tanpa arah tujuan.
- Bertandang ke rumah orang hanya untuk berbual-bual kosong tanpa niat ziarah atau tanpa ada suatu kepentingan.
- Suka mengambil tahu perkara-perkara yang tiada kaitan dengan dirinya (menyibuk).
Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:
“Merupakan tanda baiknya Islam (kesempurnaan Islam) seseorang, dia meninggalkan sesuatu yang tidak berguna baginya.” (HR Tirmidzi).
Jadi, jika keIslaman seseorang itu baik, dia akan meninggalkan apa saja yang tidak bermanfaat baginya sama ada hal-hal yang diharamkan, hal-hal syubhah, hal-hal makruh, dan hal-hal mubah yang berlebihan yang tidak diperlukan. Ini kerana semuanya tidak bermanfaat bagi seorang Muslim. Kehidupan di dunia masa kini terlalu banyak perkara yang sia-sia dengan pelbagai hiburan dan kecanggihan gajet yang melalaikan.
Justeru itu seorang Muslim yang baik perlu membuat keputusan yang bijak dalam hidupnya agar mengamalkan sesuatu yang yang memberi faedah sahaja. Ini semua perlu dalam membina kesempurnaan iman yang tinggi sebagai seorang umat Islam. Adalah amat baik bagi seorang Muslim meninggalkan perkara yang membuang waktu dan tiada kaitan dengan tujuan manusia diciptakan iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Seperti firman Allah SWT:
“Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya.” (QS Az-Zalzalah :7-8).
Sumber: Dakwah danTarbiah.com