Home Ajaran Sesat AWAS!!! GURU ATAU INDIVIDU YANG MENDAKWA BERYAQAZAH (BERCAKAP SECARA SEDAR)...

AWAS!!! GURU ATAU INDIVIDU YANG MENDAKWA BERYAQAZAH (BERCAKAP SECARA SEDAR) DENGAN RASULULLAH ADALAH ANTARA CIRI-CIRI AJARAN SESAT YANG SEMAKIN BERKEMBANG BERHATI-HATILAH!!!

828
0

Yaqazah pada perbahasan ilmu tasawuf ialah bertemu atau berjumpa dengan roh Rasulullah SAW dalam keadaan sedar (bukan mimpi) dan ia merupakan satu karamah wali-wali Allah. Yaqazah adalah satu perkara luar biasa pada logik manusia dan ianya menjadi salah satu sumber kekuatan para ulama yang hak dalam mempertahankan kebenaran.

Yaqazah hukumnya harus berlaku pada wali-wali Allah sebagai kemuliaan (karamah) yang Allah kurniakan kepada mereka. Perlu diketahui perkara bersalahan dengan adat (luar dari kebiasaan) boleh dibahagikan kepada empat kategori, berdasarkan pada siapa ianya berlaku:

  1. Mukjizat: berlaku kepada Para Rasul a.s sebagai bukti kerasulan mereka untuk mencabar penentang-penentang mereka;
  2. Karamah: berlaku kepada kekasih-kekasih Allah (para wali) sebagai lambang kemuliaan yang Allah berikan kepada mereka;
  3. Maunah: berlaku kepada orang-orang mukmin dengan berkat guru atau amalan tertentu yang diistiqamahkan;
  4. Sihir: berlaku di tangan orang-orang fasik atau kafir secara istidraj.

Rentetan isu yaqazah ini, baru-baru ini tular kisah seorang wanita Melayu yang mendakwa dirinya sedang beryaqazah dengan Rasulullah SAW menerusi siaran langsung dari laman Facebook nya. Wanita tersebut dilihat berdialog dalam tutur Bahasa arab yang mudah sambil menunjukkan kepada para penonton tempat Rasulullah SAW sedang duduk di atas sofa biliknya di Mekah sambil menunjukkan keterujaan yang kononnya dia merupakan insan terpilih bertemu dengan Rasulullah SAW. Sesi siaran langsung tersebut telah mendapat jumlah penonton yang ramai dan pelbagai reaksi dikhuatiri memberikan satu implikasi yang buruk kepada masyarakat.

Perbuatan dan kepercayaan yang dilakukan oleh wanita tersebut boleh dikatakan sebagai sesat dan bid’ah kerana dia bukanlah termasuk dalam kalangan wali-wali Allah yang mempunyai karamah luar biasa bertemu dengan Rasulullah SAW sebaliknya dia hanya berhalusinasi. Jika dahulu Malaysia terkenal dengan individu seperti Ayah Pin, ajaran Milah Ibrahim, Ibu Yati mahupun Sittah An-Nur yang mengaku beryaqazah dengan Rasulullah SAW atau menyatu dengan Tuhan, namun kini timbul pula situasi yang sama menunjukkan bahawa ajaran sesat semakin berleluasa dan jika tidak ditangani dengan betul maka akan mengakibatkan suatu implikasi dan ancaman cukup besar kepada negara kerana ia melibatkan urusan akidah seseorang yang cenderung untuk syirik mahupun murtad.

Sumber: Harian Metro – 7 JAN 2021, Kertas Kerja Seminar Penerangan Ajaran Salah dan Isu Semasa – 29 Januari 2008, http://tentang-yaqazah.blogspot.com/