Syukur atau bersyukur merupakan salah satu tanda penghargaan kita kepada Allah SWT atas kurniaan rezeki yang diberikan olehNya kepada kita. Allah SWT telah menganugerahkan kepada manusia pelbagai kemudahan dan kesenangan hidup. Cuma terpulang kepada manusia itu sendiri bagaimana untuk menzahirkan rasa syukur terhadap razeki dan nikmat yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepadanya itu. Allah SWT mengingatkan hal ini melalui firman-Nya:
“Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) sentiasa melimpah-ruah kurnia-Nya kepada umat manusia akan tetapi kebanyakan mereka tidak bersyukur. Dan sesungguhnya Tuhanmu mengetahui apa yang terpendam dalam hati mereka dan apa yang mereka nyatakan (dengan tutur kata dan perbuatan).” (QS al Naml: 73 – 74).
Dalam kehidupan, kita hendaklah sentiasa bersyukur atas rezeki yang kita terima. Dalam kes bantuan yang dihulurkan kepada masyarakat yang terjejas banjir pada hujung tahun lepas, janganlah terlalu mengeluh kerana sedikitnya bantuan atau rezeki yang diterima. Bukankah menerima sedikit rezeki itu lebih baik dari tidak menerima sesuatu langsung? Memang ada sebahagian mangsa banjir yang merungut malah bertindak marah-marah kerana bantuan yang diberikan terlalu sedikit. Tidak kurang juga ada yang terlalu memilih dalam menerima bantuan.
Dalam situasi genting seperti itu, kita seharusnya bersabar dan bersyukur kerana sekurang-kurangnya Allah SWT masih lagi memberikan kita rezeki ketika kita diuji dalam bencana walaupun cuma sedikit. Ingatlah, kelebihan orang yang bersyukur dan sentiasa menghargai pemberian Allah SWT termasuk nikmat usia, kesihatan, harta benda, anak serta keluarga, akan merasa kebahagiaan hidup.
Umat Islam yang tahu bersyukur sentiasa memuji Allah SWT, menunaikan setiap suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya. Golongan yang bersyukur juga mengakui kebesaran Allah SWT. Firman Allah SWT:
“Dan (sebaliknya) Allah memberi balasan pahala kepada orang yang bersyukur (dengan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya).” (QS Ali-Imran: 144).
Oleh itu, jadilah hamba yang bersyukur kerana mengetahui segala nikmat datangnya daripada Allah SWT dan menterjemahkan rasa syukur dengan menggunakan kurniaan itu pada jalan yang diredai-Nya.
Sumber: Berita Harian (5 Disember 2019).