Perkara pertama yang akan dihisab oleh Allah SWT di alam barzakh dan hari akhirat adalah solat. Bahkan di dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:
“Pokok segala urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat dan kemuncaknya adalah berjihad.” (HR At – Tirmidzi).
Namun, terdapat sesetengah daripada kita hari ini terlalu leka dengan urusan dunia sehinggakan kita lupa urusan kita dengan Allah SWT. Ramai di kalangan kita pada hari ini yang jika mahu menyempurnakan solat fardhu, akan dilakukan pada hujung – hujung waktu dan melakukannya sekadar ala kadar untuk memenuhi syarat. Tahukah kita bahawa perbuatan itu adalah cubaan untuk menipu Allah SWT dan solat itu digelarkan sebagai orang munafik? Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya orang munafik itu menipu Allah sedang Allah membalas tipuan mereka [dengan tidak memberikan hidayah kepada mereka]. Apabila mereka hendak mendirikan solat, mereka berdiri dengan malas dan riak terhadap manusia….” (QS An – Nisa: 143).
Antara ciri – ciri solat orang munafik adalah seperti berikut:
1) Solat dalam keadaan malas.
2) Solat dalam keadaan riak.
3) Solat dalam keadaan lalai.
4) Tidak menjaga solat.
5) Solat secara tergesa – gesa / ekspres.
6) Gemar meninggalkan solat berjemaah.
7) Meninggalkan solat Jumaat dengan sengaja tanpa keuzuran.
Tidak ada gunanya kita bersolat sekiranya solat kita itu solat orang munafik. Ia bahkan dibenci oleh Allah SWT. Jadi, ayuh perbaiki diri kita dengan memperbaiki solat kita. Solatlah di awal waktu dan jangan sesekali leka dengan urusan dunia. Seimbangkan kehidupan kita untuk duniawi mahupun ukhrawi. Dunia ini hanya tempat persinggahan di akhirat adalah tempat tinggal kita buat selama – lamanya.
Solat adalah ibadat pertama yang akan diaudit oleh Allah SWT di akhirat nanti. Oleh itu, jagalah solat, tata tertibnya, rukun dan syarat sahnya. Siapa yang menjaga solat maka di telah mendirikan agamanya dan sesiapa yang meninggalkan solat maka dia telah meruntuhkan agamanya.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan