Perkembangan pemikiran moden semasa menunjukkan bahawa ia fahaman ateisme tidak akan berhenti setakat itu sahaja. Menurut ‘WIRED Magazine’, pergerakan ateisme pada abad ke-21 ini boleh diistilahkan sebagai ‘New Atheism’. Walaupun tiada bezanya dengan ateisme asal, namun ‘New Atheism’ membawa satu bentuk ateisme yang sangat mudah dengan slogan “Tiada syurga. Tiada neraka. Hanya Sains”.
Bagi golongan berfahaman ateis ini, kepercayaan dan pengaruh terhadap agama tidak boleh dibiarkan dan perlu dilawan, dikritik dan dibongkar dengan hujah rasional. Malah sebilangan pengkaji didapati telah mula membincangkan apa pula ideologi baru yang akan muncul selepas ateisme. Mungkinkah ideologi baru tersebut akan mengangkat manusia sendiri menjadi Tuhan?
Perkara ini tidak mustahil akan berlaku pada masa hadapan, memandangkan sebahagian manusia pada masa kini telah pun menolak kewujudan Tuhan atau percaya bahawa Tuhan telah mati sehingga mereka menjadikan akal sebagai Tuhan yang baru. Bagi mereka agama hanya sekadar untuk memenuhi keperluan kanak-kanak yang memerlukan perlindungan, apabila sudah dewasa akal pula diangkat sebagai Tuhan.
Lebih ekstrem lagi apabila Karen Amstrong menyatakan bahawa sekiranya dikatakan Tuhan belum lagi mati, maka adalah tugas manusia yang rasional untuk membunuhnya. Hal ini bagi membolehkan manusia menjadi Tuhan.
Lihatlah betapa kolotnya pemikiran golongan ateisme. Pemikiran mereka hanya terbatas pada Sains, pada akal yang terbatas, pada sesuatu bukti yang hanya di depan mata. Sedangkan terdapat banyak perkara seperti fenomena alam boleh dijadikan sebagai sandaran yang menunjukkan kewujudan Tuhan alam semesta yang Maha segalanya iaitu Allah SWT. Bukan itu sahaja, malah kandungan al-Quran dan hadis yang diturunkan semenjak beribu tahun dahulu adalah masih relevan dan boleh dijadikan rujukan untuk diambil iktibar mahupun persediaan untuk menghadapi masa hadapan.
Sumber: Buku Ateisme: Satu Penelitian Awal –JAKIM dan Unit Penyelidikan al-Haqcentre Malaysia