Hantaran melalui laman Facebook Syeh Haqtullah telah berkogsi infografik yang menyatakan ‘yang menjadi SUFI bukanlah kerana banyaknya AMALnya, tetapi DIA telah mematikan dirimu, lalu menjadikan dirimu hidup di dalam Diri-Nya”. Sedikit sebanyak penyataan tersebut mampu memberi kekeliruan kepada masyarakat awam dan kecenderungan untuk diri individu tersebut serta pengikutnya jatuh sesat adalah tinggi.
Mengikut pandangan dalam kitab seperti Hilyah al-Auliya’, orang yang mula-mula diberi gelaran ahli sufi ialah Abi Hashim al-Kufi kerana cara dan perjalanan hidupnya yang mengikuti cara hidup Rasulullah SAW dan para Sahabat, yang lebih mengutamakan cara hidup sederhana serta tidak terpengaruh dengan keseronokan dan kemewahan hidup di dunia.
Ibnu Sina juga menjelaskan kedudukan akhlak yang menjadi hiasan para ahli sufi ialah seorang yang berani kerana dia tidak takut mati, seorang yang pemurah, kerana dia tidak takut bakhil dan seorang yang pemaaf kerana dirinya tidak dilukai oleh kesalahan insan. Adapun kini semakin ramai yang mendakwi diri sendiri adalah ahli Sufi sedangkan tidak menepati ciri-ciri kesufian, maka waspadalah. Adalah sangat dianjurkan malah digalakkan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, namun pencarian ilmu agama yang benar itu biarlah melalui ahli Sufi yang benar-benar muktabar yang sememangnya diiktiraf oleh persepakatan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), bukannya individu yang mendakwa dirinya jelmaan Tuhan.
Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia –JAN 2023 dan al-Afkar #54- Mufti Wilayah Persekutuan