Golongan sesat sentiasa wujud pada setiap zaman samada disebabkan oleh kejahilan, kedegilan, mempercayai ilmu daripada sumber tidak benar, ego, ingin dipuja dan disanjung serta tunduk kepada hawa nafsu. Pada zaman Nabi Muhammad SAW misalnya turut wujud ajaran sesat seperti yang dibawa oleh Musailamah al-Kazzab yang mendakwa dirinya nabi dan mereka-reka ayat untuk menyaingi al-Quran. Namun ianya dibanteras serta diperangi oleh pemimpin Islam demi memelihara kesucian akidah.
Ajaran sesat dapat dikesan apabila al-Quran dan hadis dipertikaikan serta wujud perubahan dalam kefahaman dan syariat Islam yang diamalkan serta diketahui umum. Golongan sesat juga lazimnya cenderung mengagung-agungkan pemimpin dan guru mereka melebihi kedudukan nabi serta bersifat taasub.
Justeru itu, al-Quran dan hadis serta para ulama yang muktabar mestilah selalu dirujuk agar kita tidak terjerumus ke dalam kesesatan. Jauhilah perbuatan melampaui batas yang menjadi tabiat Ahli Kitab seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah, ayat 77, bermaksud: “Katakanlah: Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam agama kamu secara yang tidak benar dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) daripada jalan yang betul.”
Tanpa disedari, sifat melampau yang disebabkan oleh kejahilan, kekeliruan dan keingkaran terhadap batasan agama telah menjadi punca kesesatan kebanyakan manusia. Maka, janganlah lelah dalam mencari kebenaran, kerana setiapnya pasti ada ganjaran yang dikurniakan Allah SWT.
Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)