Golongan Islam liberal tidak menzahirkan diri mereka sebagai orang yang menolak agama, tetapi berselindung di sebalik gagasan mengkaji semula agama, mentafsir semula al-Quran, menilai semula syariat dan hukum-hukum fiqh. Bagi mereka, jika terdapat hukum yang tidak menepati zaman, kemodenan, hak-hak manusia dan tamadun global, maka hukum itu hendaklah ditakwilkan atau sebolehnya digugurkan.
Niat hendak menyanggah syariat pun sudah salah, apetah lagi melakukan tindakan tersebut secara rela. Golongan Islam liberal ini tanpa sedar segala keputusan yang diputuskan adalah berkait dengan cara berfikir barat. Menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas, terdapat lima sifat utama yang semuanya berlandaskan nafsu semata-mata. Contohnya seperti:
1- Kebergantungan semata-mata kepada akal manusia bagi memandu kehidupan dunia;
2- Dualisme dalam memahami pelbagai realiti dan kebenaran;
3- Penekanan kepada unsur-unsur perubahan dalam kewujudan yang mempamerkan pandangan sekularisme;
4- Doktrin humanisme iaitu jelmaan ideologi sekularisme yang memusatkan penilaian segala-galanya kepada fikiran manusia; dan
5- Konsep tragedi yang menyusup dalam setiap genap kehidupan termasuklah dari segi agama, falsafah atau kesenian.
Konsep seperti ini mencerminkan jiwa tidak beriman kerana kecewa dengan agama. Konsep tragedi ini mengakibatkan mereka asyik berpandu kepada keraguan dan dalam proses ini mereka mengiktiraf falsafah sebagai alat utama menuntut kebenaran yang tiada tercapai. Sedangkan syariat itu telah lengkap dan telah diamalkan semenjak 1444 H yang lalu, maka ia membuktikan bahawa Islam beserta syariatnya adalah relevan sepanjang zaman. Justeru itu,mengapa perlu dipermudahkan lagi apa yang telah mudah? Nikmat apa lagikah yang engkau dustakan?
Sumber: Buku Cabaran Akidah Pemikiran Islam Liberal – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan