Menjaga kesihatan juga merupakan sebahagian daripada tuntutan agama. Bahkan Rasulullah SAW juga memperingatkan kepada umatnya agar menggunakan dan memanfaatkan 5 kesempatan sebelum datang 5 kesempitan yang lain. Kesempatan yang ada adalah peluang untuk melakukan ibadah dengan lebih kuat dan banyak. Sabda Baginda:
“Gunakanlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara; Masa mudamu sebelum masa tuamu, kesihatanmu sebelum sakitmu, waktu luangmu sebelum waktu sibukmu, masa kayamu sebelum masa kefakiranmu, masa hidupmu sebelum kematianmu.” (HR Al – Hakim).
Mutakhir ini ramai yang menggunakan masa yang ada untuk melakukan senaman. Pelbagai cara senaman yang dilakukan seperti bersukan, bersenam, joging dan sebagainya. Namun tidak kurang juga yang melakukan senaman secara santai seperti yoga dan juga pilates. Akan tetapi, perlu diingatkan kepada semua umat Islam yang mengamalkan senaman yoga agar berhati – hati kerana dikhuatiri akan menjejaskan keimanan kita kerana ianya merupakan ritual agama Hindu.
Malah, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-83 memutuskan bahawa senaman yoga adalah bercanggah dengan Islam kerana ia menggabungkan amalan fizikal, unsur-unsur falsafah keagamaan Hindu dan Buddha, mentera dan pemujaan bagi tujuan tertentu seperti mendapatkan ketenangan dan kemuncak penyatuan diri dengan tuhan atau tujuan-tujuan lain adalah tidak sesuai dan boleh merosakkan akidah seseorang Muslim. Terdapat beberapa teknik senaman yoga yang tidak boleh diamalkan diantaranya ialah senaman Asana Yoga yang mengandungi unsur – unsur pemujaan.
Jika kita ingin menjaga kesihatan, masih terdapat cara lain yang dilakukan khusus buat umat Islam. Malah, gerakan dalam solat juga sudah dikira sebagai satu senaman buat umat Islam. Kawal pemakanan dan melakukan kerja rumah juga dikira melakukan riadah dan senaman. Usah gadaikan iman hanya disebabkan kesihatan. Utamakan iman melebihi segalanya. In shaa Allah, Allah SWT akan memelihara kita dalam apa jua keadaan.
Sumber: e – Sumber Maklumat Fatwa (e – SMAF), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)