Home Ajaran Sesat MENCEMARI KESUCIAN SYARIAT ISLAM ADALAH TANDA-TANDA BESAR TERPESONG DARI AJARAN ISLAM YANG...

MENCEMARI KESUCIAN SYARIAT ISLAM ADALAH TANDA-TANDA BESAR TERPESONG DARI AJARAN ISLAM YANG SEBENAR

393
0

Mencemari kesucian syariat Islam seperti mempertikaikan hukum-hukum Islam, mengubah, menambah serta meringankan syariat dan pengamalan dalam Islam atau mendakwa wujudnya syariat yang baru adalah antara bentuk-bentuk yang menunjukkan sesuatu ajaran itu sesat. Contohnya, ajaran Qadiani yang menghapuskan syariat hukum jihad atau ajaran-ajaran lain yang mendakwa bahawa solat, puasa atau ibadah-ibadah lain cukup hanya dengan niat.

Contoh lain adalah ajaran yang menghalalkan nikah batin dan nikah mutaah seperti ajaran Syiah dan ajaran-ajaran sesat lain yang terlibat. Selain itu, antara bentuk pencemaran terhadap kesucian syariat Islam adalah dakwaan adanya syariat baru iaitu syariat yang lain daripada syariat yang telah diketahui umum. Ini adalah dakwaan nafsu dan kepentingan peribadi semata-mata.

Sesungguhnya ajaran Islam meliputi tiga komponen utama iaitu iman atau akidah (kepercayaan), Islam atau syariat (pengamalan) dan ihsan atau akhlak (pengabdian atau sifat kehambaan) telah lengkap, tetap serta muktamad sebagai rujukan umat Islam di seluruh dunia. Justeru, sebarang ajaran dan dakwaan yang menyalahi rukun-rukun Islam, Iman dan Ihsan yang sedia maklum adalah ajaran yang sesat lagi menyesatkan.

Sumber: Buku Ajaran Sesat: Merungkai Kesesatan & Kecelaruan – MAIS