Home Kemanusiaan/Motivasi LAZIMILAH LIDAH UNTUK BERKATA PERKARA YANG BAIK

LAZIMILAH LIDAH UNTUK BERKATA PERKARA YANG BAIK

389
0

Di akhir zaman ini, kelakuan, sifat dan akhlak manusia itu semakin hari semakin terhapus. Cuba kita lihat di sekeliling kita bagaimana pertuturan serta perbuatan manusia termasuk di media sosial, kebanyakan daripada mereka berkata kata dengan perkataan yang kasar dan kadang kala keterlaluan. Tidak kira peringkat umur dan latar belakang, semuanya seakan sama hingga hilang rasa hormat di antara satu sama lain.

Perlu kita sebagai umat Islam untuk ketahui bahawa antara perkara yang boleh membentuk kesempurnaan iman adalah memelihara tutur kata. Kemuliaan seseorang juga boleh dinilai berdasarkan tutur kata. Apa yang diniatkan dan digambarkan di hati akan diterjemah dengan tutur kata. Dalam hal ini Rasulullah SAW mengajar orang beriman supaya sentiasa mengawasi perkataan yang dituturkan dan membiasakan diam sekiranya tiada perkara yang perlu dibicarakan. Hal ini dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau hendaklah dia diam” (HR Bukhari dan Muslim).

Sebagai umat Islam, kita perlu sedar setiap amalan kebaikan akan dicatat oleh malaikat Raqib dan manakala setiap amalan buruk akan dicatat malaikat Atiq. Hal ini dibuktikan dengan firman Allah SWT yang bermaksud:

“Barang siapa yang mengerjakan kebaikan sebesar zarah (atom), nescaya dia akan melihat (balasannya) dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah pun, akan melihat (balasannya).” (QS al-Zalzalah: 7 & 8).

Menurut Imam al-Ghazali dalam kitab karangan beliau, al-Arbai’n Fi Usul al-Din, secara fitrahnya, terdapat lima keburukan yang berpunca daripada lidah iaitu berdusta, mengumpat, perdebatan, pujian dan gurauan. Jika lidah tidak didorong dengan kebaikan, tidak mustahil lidah akan menjadi alat pencetus kepada terbitnya dosa dan masalah.

Maka dari itu, lazimilah lidah kita untuk sentiasa berkata terhadap perkara – perkara yang baik. Jangan kerana hawa nafsu, kita tidak dapat membendung setiap perkataan yang keluar dari mulut kita dan mengakibatkan ianya wujud sebagai sebuah dosa yang tidak terhitung. Berkata – kata secara umum diharuskan dan diam pula tidak disuruh secara mutlak. Apa yang mustahak adalah menilai terlebih dahulu perkara yang hendak diperkatakan atau didiamkan itu mendatangkan faedah atau tidak.

Sumber: Facebook Page My #HadithTime
(https://www.facebook.com/myhadithtime/posts/395663505640518/)