Home Kemanusiaan/Motivasi BERTABAYYUN SEBELUM MENYEBARKAN: FITNAH AKHIR ZAMAN KINI DI HUJUNG JARI

BERTABAYYUN SEBELUM MENYEBARKAN: FITNAH AKHIR ZAMAN KINI DI HUJUNG JARI

347
0

Akhir zaman ini semakin banyak fitnah yang berleluasa. Ya, mungkin kita kini sudah pun memasuki fasa kedua terakhir sebelum datangnya tanda – tanda besar kiamat. Apatah lagi dengan kewujudan pelbagai platform media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan TikTok membuatkan lebih banyak fitnah yang tersebar dan ia berlarutan seperti surat berangkai.

Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada fitnah sesuai dengan kategori orang itu, sama ada dia adalah pereka fitnah atau semata-semata sebagai penyebar. Pokok pangkalnya fitnah terbit daripada hati seseorang yang kotor, bermasalah dan tidak dibenteng dengan iman yang teguh. Sesungguhnya syaitan sememangnya tidak pernah berdiam agar manusia sentiasa berbalah dan berkonflik antara satu sama lain. Ia sebagaimana firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu.” (QS Al – Maidah: 91).

Sebagai contoh, fitnah yang ditimbulkan oleh seorang pengguna media sosial TikTok yang memuatnaik video berkenaan dua orang pemandu sebuah bas persiaran yang kononnya dikatakan melakukan aksi yang tidak senonoh. Akan tetapi terdapat dua orang saksi yang mengatakan ianya fitnah kerana salah seorang daripadanya sedang membaiki kotak radio yang berada di belakang kerusi pemandu bas berkenaan. Video itu mendapat tontonan ramai dan tersebar di seluruh platform media sosial sehinggakan saluran media sosial yang terkenal juga menyiarkan semula video tersebut. Walaupun dikhabarkan si pereka fitnah itu telah pun meminta maaf, namun kesan kerosakan dari segi nama baik dan maruah telah pun tercalar. Benarlah seperti apa yang dicatatkan di dalam al – Quran bahawa fitnah itu membawa kepada bencana. Firman Allah SWT:

“Dan peliharalah diri kamu daripada (berlakunya) fitnah (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang – orang yang zalim antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu kesemuanya). Dan ketahuilah bahawa Allah sangat berat siksanya.” (QS Al – Anfal: 25).

Oleh itu, suka untuk artikel menyeru dan mengingatkan kepada semua umat Islam agar bertabayyun sebelum menyebarkan sebarang berita yang belum diketahui kesahihannya. Bukankah Allah SWT telah mengingatkan kaedah tabayyun ini di dalam surah Al – Hujurat, ayat 6 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”.

Jadilah umat Islam yang menyampaikan kebenaran dan bukannya kebatilan. Jangan kerana rasa ingin mendapat banyak perhatian di media sosial maka kita sanggup menyebarkan fitnah hingga meruntuhkan institusi negara dan masyarakat.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan