Kemunculan cendiakawan-cendiakawan yang berfikiran sekular dan liberal dalam kalangan umat Islam yang giat mempromosikan idea-idea dan nilai-nilai Barat adalah didorong oleh rasa rendah diri yang mencengkam sebahagian umat Islam akibat kemunduran dan keterbelakangan umat Islam yang telah mengalami kejatuhan peradaban seterusnya penjajahan ratusan tahun lamanya.
Sebahagian daripada idea-idea yang diperkenalkan itu ada yang baik dan telah diterima umum, dan sebahagian yang lain bertentangan dengan ajaran Islam dan boleh merosakkan akidah serta jati diri umat Islam. Dalam Islam, manusia akan bertanggungjawab secara individu di hadapan Allah SWT. Ini bermakna segala dosa perbuatannya akan menjadi tanggungannya sendiri dan tiada orang yang akan menanggung untuknya. Namun, ini tidak bermakna bahawa perbuatannya itu tidak akan memberi apa-apa kesan sama ada baik ataupun buruk kepada orang lain.
Justeru, dalam Islam setiap perbuatan yang baik akan diambil kira bukan sahaja perbuatan itu tetapi juga bagaimana ia memberi kesan kepada orang lain, jika perbuatan yang baik itu menjadi penyebab kepada banyak perbuatan baik yang lain, maka orang yang memulakannya akan mendapat ganjaran daripada setiap perbuatan baik yang datang setelahnya, demikian juga sebaliknya.
Apa yang nyata, dalam liberalisme ini sama ada dalam urusan politik atau peribadi sekalipun, agama tetap diketepikan. Meskipun sering dikatakan bahawa urusan agama adalah urusan individu, namun hakikatnya agama tidak boleh dikuatkuasakan bahkan akan sentiasa disisihkan baik dalam perkara bersifat politik mahupun yang bersifat peribadi. Renung-renungkan.
Sumber: Jurnal Afkar, Vol. 20(2) – Universiti Teknologi Malaysia