Home Kemanusiaan/Motivasi PERISTIWA ISRAK MIKRAJ: HAYATILAH PENGORBANAN RASULULLAH SAW DALAM MEMBENTUK JATI DIRI UMAT...

PERISTIWA ISRAK MIKRAJ: HAYATILAH PENGORBANAN RASULULLAH SAW DALAM MEMBENTUK JATI DIRI UMAT ISLAM YANG SEJATI

543
0

Esok merupakan 27 Rejab 1445 hijrah bersamaan dengan 8 Februari 2024 umat Islam bakal menyambut hari Israk Mikraj. Hari di mana terjadinya peristiwa penting dalam sejarah Rasulullah SAW yang wajib diimani oleh umat Islam berdasarkan bukti-bukti daripada al-Quran dan as-Sunnah. Ini seperti yang diterangkan oleh Allah SWT di dalam surah Al – Isra’, ayat 1 yang bermaksud:

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Israk memperlihatkan perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa. Manakala Mikraj pula merujuk kepada perjalanan Nabi merentas tujuh lapis langit hingga ke Sidratul Muntaha dan ke Mustawa. Selepas sahaja peristiwa tersebut, Rasulullah telah diperlihatkan dengan pelbagai peristiwa bagaimana gambaran balasan di neraka oleh orang – orang yang ingkar dengan perintah Allah SWT dan juga gambaran umat Islam yang akan diberikan balasan syurga kerana mematuhi suruhan Allah SWT dan ajaran RasulNya.

Hikmah daripada peristiwa ini dapat dlilhat melalui perkara – perkara tersebut:

1) Tanda kekuasaan Allah SWT. Ia menunjukkan betapa besarnya kekuasaanNya dengan menjadikan sebuah peristiwa yang boleh dianggap ganjil bahkan hal yang lebih hebat daripada itu.

2) Bentuk kemuliaan Allah SWT kepada Rasulullah SAW. Ia merupakan hadiah dan sebuah pengganti dari apa yang telah Rasulullah SAW hadapi terutamanya pada tahun yang sama.

3) Bukti kerasulan Nabi Muhammad SAW. Israk Mikraj juga memperlihatkan sebahagian bukti akan kebesaran Allah selain bertujuan memantapkan dan mengukuhkan kerasulan Rasulullah SAW.

4) Bukti jaran Rasulullah SAW bersifat menyeluruh. Peristiwa Israk atau perjalanan Rasulullah dari Masjidil Haram (Mekah) ke Masjidil Aqsa (Madinah), menunjukkan bahawa ajaran yang dibawa Rasulullah SAW bukan hanya untuk masyarakat Mekah sahaja tetapi agama kepada seluruh umat manusia yang ada di muka bumi.

5) Perintah didirikan solat lima waktu. Walaupun pada awalnya Allah SWT memerintahkan didirikan sebanyak 50 waktu, namun Rasulullah SAW memohon agar dikurangkan sehinggalah perintah solat menjadi lima waktu sehari semalam seperti hari ini.

6) Pembersihan hati untuk menghadap Allah SWT. Diriwayatkan, sebelum peristiwa Israk Mikraj, Rasulullah SAW telah ‘dibedah’ oleh malaikat bagi membersihkan jiwa Baginda dari dari sifat-sifat buruk seperti was-was. Ini memberi gambaran kepada umat Islam bahawa sebelum menghadap Allah SWT dalam menjalankan ibadah, seharusnya membersihkan dulu jiwa dan hati dari segala sifat buruk.

Oleh itu, marilah kita menghayati pengorbanan Rasulullah SAW kepada umatnya dalam membentuk jati diri umat Islam yang sejati. Umat Islam seharusnya bersyukur dengan apa yang diusahakan oleh Rasulullah SAW kepada umat Baginda agar kita semua mampu hidup dengan nikmat iman dan nikmat Islam yang berkekalan hingga ke akhir zaman dalam usaha untuk meraih ganjaran di akhirat sana.

Sumber: Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Cawangan Dato’ Keramat