Dapat kita lihat pada hari ini begitu banyak kematian berlaku di seluruh dunia. Tidak kiralah dalam apa jua bentuk keadaan sama ada secara insiden ataupun semulajadi. Apa yang pasti, kita perlu mengambil iktibar ke atas apa yang terjadi dan berazam untuk memperbaiki diri sebelum dijemput Illahi. Seorang Muslim yang sentiasa mahu menjadi baik akan selalu memperbaiki dirinya dan menambah pengetahuan dengan ilmu agama untuk meningkatkan identiti supaya lebih menyerlah imej sebagai Muslim yang bermanfaat dunia serta akhirat.
Untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik, muhasabah diri adalah permulaan dalam usaha itu. Firman Allah SWT:
“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan,” (QS Al Hasyr: 18).
Dengan melakukan muhasabah diri, manusia akan membuka hati dan menyedari segala dosanya. Dalam Islam, setiap manusia dianjurkan untuk bertaubat dan memperbaiki diri menjadi peribadi yang lebih baik. Orang yang berbuat jahat sekalipun akan diampuni oleh Allah SWT dan dimudahkan jalan kebaikan baginya ketika bersungguh-sungguh memperbaiki diri.
Memperbaiki diri dalam Islam, secara umumnya dilakukan dengan cara mendekatkan diri pada Allah SWT. Salah satunya dengan melaksanakan amalan-amalan ibadah dan berdoa memohon keampunan serta bimbingan dari Allah SWT. Bahkan Rasulullah SAW turut mengajari kita doa memperbaiki diri yang bermaksud:
“Ya Allah, bimbimbinglah diriku pada akhlak paling terpuji karena tidak ada yang dapat membimbing kepadanya kecuali Engkau. Palingkanlah aku dari akhlak yang buruk karena sungguh tidak ada yang dapat memalingkannya dariku kecuali Engkau.”
Setiap manusia tidak akan lari daripada melakukan salah dan dosa, tetapi bagi seseorang Muslim yang berhati bersih sudah pastinya akan selalu menghitung perbuatan dirinya kerana takut akan azab Allah SWT. Amat rugi bagi mereka yang tidak suka mengaku kesilapan diri dan tidak sedar akan kesalahan diri sendiri.
Oleh itu, sentiasalah bermuhasabah menemukan kesilapan yang dilakukan sama ada secara sengaja atau sebaliknya. Kesilapan daripada kejahilan atau kekurangan ilmu itulah dijadikan sebagai peluang untuk memperbaiki diri supaya menjadi insan yang mulia di sisiNya. Sesungguhnya orang yang selalu berusaha memperbaiki dirinya dan berusaha gigih mentaati suruhan Allah SWT akan mendapat pahala di sisiNya. Sabda Rasulullah SAW:
“Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk hari selepas kematian sementara orang yang lemah ialah orang yang mengikut hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah dengan angan-angan yang banyak.” (HR At – Tirmidzi).
Sumber: Laman Web Majoriti (https://majoriti.com.my/mukmin/2021/11/09/muhasabah-diri-awal-merubah-diri-ke-arah-lebih-baik), 9 November 2021