Home Kemanusiaan/Motivasi MALU ITU PERISAI IMAN: SENTIASALAH MEMPUNYAI SIFAT MALU BAGI MENGEKANG KEROSAKAN AKHLAK

MALU ITU PERISAI IMAN: SENTIASALAH MEMPUNYAI SIFAT MALU BAGI MENGEKANG KEROSAKAN AKHLAK

128
0

Antara sifat terpuji yang melambangkan ketinggian budi pekerti Muslim dan ketebalan imannya adalah sifat malu. Malahan, yang lebih menariknya sifat malu ini adalah satu petanda yang membuktikan iman itu bertapak kukuh dalam sudut jiwa sanubarinya. Tetapi sebaliknya jika seseorang tidak mempunyai rasa malu bermakna dia kehilangan imannya sebagaimana ditegaskan sendiri oleh Rasulullah SAW yang bersabda maksudnya:

“Malu dan iman itu adalah teman yang seiring jalan. Jika salah satu daripadanya terangkat (tiada), nescaya terangkat (tiada) juga yang satu lagi.” (HR Muslim).

Sifat malu ini adalah sifat semula jadi yang diciptakan Allah SWT pada setiap insan. Ini kerana pokok pangkal kebaikan dan benteng diri daripada melakukan maksiat keburukan adalah sifat malu kerana malu adalah sebahagian daripada iman. Sabda Rasulullah SAW:

“Iman memiliki lebih daripada enam puluh cabang dan malu adalah sebahagian daripada iman.” (HR Bukhari).

Oleh itu, perlulah setiap orang termasuk wanita mahupun lelaki untuk menjadikan sifat malu ini sebagai landasan etika dalam usaha membentuk keperibadian yang berakhlak mulia kerana dengan memiliki sifat ini, seseorang itu akan memperoleh banyak kebaikan khususnya untuk meningkatkan darjat dan kehormatan di sisi Allah SWT. Amat wajar bagi setiap Muslim menghiasi dirinya dengan sifat malu kerana sifat itu adalah lambang kepada kesempurnaan iman seseorang kepada Allah SWT. Lebih-lebih lagi, sifat malu mampu bertindak sebagai perisai atau benteng bagi seseorang Muslim daripada terjerumus ke lembah kederhakaan dan kehinaan. Malah, dengan sifat malu yang bertakhta kukuh dalam sudut hatinya berupaya memartabatkan individu Muslim sebagai Muslim yang kental imannya, luhur budi pekertinya, berdisiplin dan juga disenangi oleh semua warga insan.

Justeru, sifat malu sewajibnya dihiaskan pada setiap individu masyarakat bermula dari individu Muslim, ibu bapa, anak, pemimpin dan rakyatnya. Individu Muslim yang bersifat malu merupakan Muslim yang soleh dan bertakwa kepada Allah SWT. Ibu bapa dan anak yang memiliki sifat malu mampu membentuk sebuah keluarga yang bahagia. Begitu juga pemimpin bersama rakyat jelata sewajarnya bersifat malu bagi membentuk sebuah masyarakat yang bersih, harmoni dan sejahtera serta cemerlang dalam segala lapangan hidup. Orang yang memiliki sifat malu akan sentiasa menjaga hawa nafsu kerana setiap kali dia ingin melangkah melakukan hal yang membawa kepada keburukan pastinya akan tertahan atau terhalang oleh desakan malunya.

Jadi, kita perlu menginsafi betapa besarnya peranan sifat malu dalam kehidupan ummah sejagat sehingga ia dapat membentuk sebuah kehidupan yang harmoni dan sejahtera yang berada di bawah keredaan Ilahi dunia dan akhirat.

Sumber: Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM)