Apabila sebut sahaja hari raya aidiladha ataupun hari raya haji, kita sudah pasti akan mengaitkannya dengan ibadah korban. Ia sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang sanggup menyembelih anaknya Nabi Ismail AS kerana ketaatannya terhadap Allah SWT. Namun dengan izin Allah SWT, sembelihan tersebut telah bertukar kepada seekor kibas. Rentetan dari peristiwa ini, setiap tahun umat Islam akan menyembelih haiwan – haiwan korban lalu mengagihkannya kepada golongan yang kurang bernasib baik.
Namun, ibadah korban dan pengorbanan adalah dua perkara berbeza, tetapi membawa semangat dan nilai yang sama. Sejarah kisah Nabi Ibrahim AS yang direkodkan dalam al-Quran melalui Surah al-Saffat menunjukkan betapa pengorbanan seorang bapa mentaati perintah Allah untuk menyembelih anaknya dan pengorbanan seorang anak, iaitu Nabi Ismail AS reda untuk disembelih diganjari nikmat yang besar.
Ternyata, ibadah korban bukan sekadar membayar bahagian daging korban, menyembelih dan melapah. Malah lebih daripada itu, Allah SWT menjelaskan dalam Surah al-Hajj, ayat 37 yang bermaksud:
“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu…”
Nas al-Quran ini menunjukkan di sebalik pensyariatan korban, ada tujuan yang besar yang Allah SWT tetapkan iaitu untuk membentuk sifat ikhlas dan bertakwa. Allah SWT tidak sekali-kali memandang kepada segala bentuk material tetapi aspek spiritual melalui sifat ketaqwaan merupakan objektif paling utama yang perlu dihayati oleh setiap umat Islam. Ini kerana sifat ini akan mendekatkan diri seseorang kepada Allah SWT dan mengetepikan kepentingan peribadi yang merupakan habuan dunia semata-mata.
Sebagai contoh apabila seseorang ingin melaksanakan ibadah korban, beliau perlu mengeluarkan sejumlah bayaran yang berpatutan dengan kadar semasa. Bagi seorang pengembala, ibadah korban menuntut dia mengorbankan haiwan ternakan yang sihat dan cukup syarat. Ibadah ini dilakukan atas kerelaan tanpa paksaan oleh sesiapa pun. Di sinilah terbitnya keikhlasan dalam mengorbankan harta yang ada demi mendekatkan diri dengan Sang Pencipta. Bukan mudah untuk kita mengorbankan harta yang bernilai demi memenuhi kepentingan pihak lain. Firman Allah SWT:
“..Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).” (QS Al – Baqarah: 197).
Oleh itu, ibadah korban semasa menyambut Hari Raya Aidiladha adalah wadah terbaik untuk merealisasikan matlamat tersebut dan seterusnya dilanjutkan sebagai amalan hidup. Dengan sikap hidup bermuafakat, saling membantu antara satu sama lain serta nilai kekitaan yang padu, pastinya seseorang Mukmin itu dapat meluaskan wilayah kebaikan dan melebarkan jaringan kebajikan.
Selamat Hari Raya Aidiladha.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)