Home Kemanusiaan/Motivasi DUNIA MAKIN TENAT! DOSA MUJAHIR DINORMALISASI HINGGA HILANG RASA MALU

DUNIA MAKIN TENAT! DOSA MUJAHIR DINORMALISASI HINGGA HILANG RASA MALU

53
0

Dunia sekarang sudah semakin parah dan semakin tenat. Ramai di kalangan manusia dan tidak terkecuali umat Islam kini semakin menormalisasikan dosa mujahir. Apa itu dosa mujahir? Mujahir atau mujaharah adalah melakukan maksiat secara terang-terangan dan ia termasuk di dalam dosa besar yang dicegah dalam agama. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Setiap umatku diberikan kemaafan melainkan golongan al-mujahirin. Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu adalah, seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah telah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: ‘’Wahai si fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan dosa itu dan ini’’. Sedangkan dia telah tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya, lalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan dari dirinya.” (HR Bukhari).

Golongan al-mujaahiruun ini terbahagi kepada dua bahagian seperti berikut:

1) Seseorang itu melakukan maksiat dan dia melakukannya secara terbuka. Ini adalah mereka yang melakukan maksiat secara terang-terangan di hadapan orang ramai dan mereka melihat ke arahnya, maka dalam kes ini dia dianggap melakukan kezaliman ke atas dirinya sendiri atas maksiat yang dilakukan. Begitu juga dia melakukan dosa ke atas orang lain kerana menjadi faktor orang lain turut mengikut maksiat yang dia lakukan.

2) Seseorang yang melakukan dosa secara sembunyi. Kemudian dia pergi menceritakan dosa yang telah dilakukan kepada orang lain. Ini juga termasuk dalam perbuatan mujaharah (menceritakan dosa kepada orang lain). Perbuatan ini menyebabkan dia turut terkecuali dari mendapat mu’aafah (kemaafan) daripada Allah SWT.

Perbuatan mujaharah juga dilihat sebagai usaha mempromosi kemungkaran agar orang lain turut terjebak melakukannya. Perkara ini perlu dibanteras kerana perbuatan buruk mesti disekat agar tidak berlaku penularan kepada orang lain yang menyaksikannya atau mendengar cerita tentang kemungkaran tersebut. Golongan ‘mujahirin’ juga dilihat tidak hairan dengan peluang keampunan yang diberikan oleh Allah SWT kepada seluruh makhlukNya. Mereka sanggup mempromosikan kesalahan dan dosa yang dilakukan tanpa memikirkan kesan buruk yang boleh terjadi terhadap maruahnya pada masa akan datang.

Setiap orang Islam perlu menyedari bahawa setiap kesalahan yang dilakukan mewajibkan diri agar segera memohon keampunan daripada Allah SWT. Dialah Tuhan yang tidak akan sesekali mensia-siakan perbuatan hambaNya yang ingin kembali bertaubat dan menjadi orang yang diampuni dosanya. Jangan terlibat dengan perbuatan ‘mujaharah’ kerana ia menjadikan diri semakin jauh daripada rahmat dan keampunan Allah SWT.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan