Home Kemanusiaan/Motivasi ISLAM ADALAH AGAMA YANG MEMENTINGKAN PERPADUAN DAN KASIH SAYANG SERTA MENOLAK KEGANASAN...

ISLAM ADALAH AGAMA YANG MEMENTINGKAN PERPADUAN DAN KASIH SAYANG SERTA MENOLAK KEGANASAN DAN EKSTREMIS

1602
0

Islam telah mengajar umatnya akan kepentingan ukhuwah (persaudaraan), perpaduan, kasih sayang, kesejahteraan, keselamatan dan keadilan untuk umat sejagat tanpa mengira latar belakang bangsa, warna kulit, bahasa mahupun taraf atau kedudukan pangkat dan sebagainya. Namun, ada segelintir pihak yang cuba untuk memanipulasikan keadaan dengan melakukan sesuatu yang menampakkan Islam ini agama yang melampau dan eksterim.

Ini secara tidak langsung membuatkan Islam dipandang sinis dan dibenci oleh penduduk dunia. Mereka seakan mengalami trauma atau lebih tepat lagi Islamophobia setelah pelbagai peristiwa yang berlaku dan serta-merta melabelkan Islam sebagai agama pelampau atau ekstrem. Apa yang mereka tidak tahu adalah tindakan ganas yang dilakukan ke atas orang bukan Islam itu adalah tindakan sesetengah individu yang terlampau taksub dalam agamanya dan dilakukan semata-mata atas dasar membalas dendam atau atas dasar kebencian yang melampau batas. Tindakan melampaui batas yang sedemikian bukanlah ajaran Islam kerana Islam telah mengatur setiap tindakan yang boleh dilakukan meskipun terhadap mereka yang memusuhi Islam atau menghina agama Islam.

Firman Allah SWT:
“Wahai Ahli Kitab, janganlah kamu melampaui batas dalam agamamu dan janganlah kamu mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar.” (QS An-Nisa’: 171)

Walaupun ayat di atas memberi amaran kepada ahlul bait, tetapi kita sebagai umat Islam juga harus mengikuti perintah dari Allah SWT. Islam sangat mementingkan perpaduan dan kasih sayang serta menolak sebarang bentuk keganasan dan perbuatan melampau terhadap makhluk lainnya. Dalam perkara ini, cendekiawan Islam perlu bersuara kepada masyarakat dunia di samping menggariskan kerjasama rapat untuk mengekang gerakan kumpulan-kumpulan pelampau agama. Masyarakat dunia perlu diberi kefahaman yang jelas dan keyakinan bahawa Islam bukanlah penyebab keganasan dan tindakan yang melampau yang dilakukan oleh kumpulan ekstremis tersebut merupakan salah faham terhadap ajaran Islam yang benar. Pihak berkuasa Islam perlu bangkit untuk menjelaskan kepada masyarakat di seluruh dunia bahawa Islam adalah agama keamanan dan berbeza dengan tindakan keganasan yang dilakukan oleh kumpulan ekstremis meskipun mereka mendakwa tindakan tersebut adalah atas alasan untuk membela agama Islam.

Sesungguhnya Islam amat cintakan kedamaian dan bencikan keganasan. Malah dalam Islam itu sendiri bererti damai, selamat, sejahtera, penyerahan diri, taat dan patuh adalah agama yang membawa kedamaian, keselamatan dan kesejahteraan kepada kehidupan semua makhluk. Islam juga memerintahkan umatnya berkasih sayang sesama makhluk di atas muka bumi ini, meletakkan kedamaian dan kesejahteraan sebagai asas dalam kehidupan serta membentuk perpaduan yang kukuh di kalangan semua umat manusia termasuk yang bukan Islam.

Sabda Rasulullah SAW:

“Firman Allah Taala (dalam Hadith Qudsi) orang-orang yang berkasih sayang kerana keagunganku akan mendapat minbar-minbar daripada cahaya yang diinginkan oleh para nabi dan syuhada’.” (HR at-Tirmidzi).

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)