Ideologi pengasas fahaman Islam liberal telah menjadikan modernisme sebagai kayu pengukur dalam menilai dan membuang apa yang dianggap sebagai sudah ketinggalan dalam tradisi pemikiran Islam yang diwarisi. Dengan kata lain, fahaman Islam liberal ini adalah pemahaman semula wahyu berdasarkan paradigma liberalisme dalam melihat kehidupan semasa.
Secara lebih khusus, ada tiga unsur utama yang perlu di ambil perhatian. Pertama, adat kebiasaan dalam kehidupan semasa yang menjadi fakta. Kedua, falsafah liberalisme yang menganjurkan suatu nilai hidup tertentu. Ketiga, ajaran wahyu Islam yang turut mengemukakan panduan nilai hidup tertentu yang boleh jadi bercanggah dengan idea liberalisme.
Sebagai contoh, umat Islam sememangnya dari dahulu telah menyusun kehidupan berdasarkan idealisme wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT. Hal ini bermaksud, wahyu itu difahami sebagai satu nilai yang menstrukturkan kehidupan. Dengan itu, umat Islam berusaha sebaiknya mengubah dan mencorakkan kehidupan agar selaras dengan wahyu.
Namun, disebabkan fahaman liberal ini telah menjadikan modernisme sebagai paksi utama, maka kebiasaan yang dijalani oleh umat Islam telah diubahkan dan dicorakkan agar selaras dengan kesesuaian ideologi liberal. Perubahan ini dibuat juga walau tidak selaras dengan adat kebiasaan manusia seperti dalam isu kebebasan homoseksual dan sebagainya. Kemudian tafsiran wahyu diubah lagi agar mempersetujui nilai terkini berasaskan perspektif liberal.
Hasilnya, lahirlah seorang Islam yang menyesuaikan diri mengikut tafsiran kemodenan hasil daripada tafsiran wahyu mengikut nilai tersebut. Kemunculan idea Islam liberal yang berasaskan kepada pengalaman sejarah Kristian Protestan beserta dengan pengaruh ‘enlightment’ telah membawa konsep rasional baru yang mengakibatkan perlu ditolak kepercayaan terhadap elemen-elemen mukjizat kerana dakwanya mukjizat agama sebagai sesuatu yang bertentangan dengan akal. (rujuk artikel lalu: https://alhaqcentremalaysia.com/?p=3738)
Ingatlah wahai umat Islam, seharusnya yang diikuti dan dijadikan amalan harian adalah wahyu, bukan kebiasaan manusia. Apa yang perlu diubah adalah kebiasaan itu agar selari dengan wahyu walau ia bertentangan dengan prinsip kemodenan dan adat kebiasaan dalam sesebuah masyarakat.
Sumber: Jurnal Usuluddin, Vol. 40 – 2014, UPM