Home Kemanusiaan/Motivasi WASPADALAH DENGAN BAHAYA FITNAH DI MEDIA SOSIAL!!! FITNAH ADALAH DOSA BESAR, MANAKALA...

WASPADALAH DENGAN BAHAYA FITNAH DI MEDIA SOSIAL!!! FITNAH ADALAH DOSA BESAR, MANAKALA PEMBUAT DAN PENYEBAR FITNAH ADALAH SEKEJI-KEJI MANUSIA

617
0

Dunia kini ibarat sedang menjalani perperangan. Jika dahulu perperangan bersifat fizikal, tetapi kini ia lebih kepada bersifat mental dan juga psikologi. Apatah lagi dengan kehadiran teknologi moden dengan pelbagai platform media sosial, ia membuatkan sebahagian golongan manusia dengan mudah untuk menabur fitnah sewenang-wenangnya. Pada zaman teknologi dunia tanpa sempadan ini, segala perkara, peristiwa dan berita dapat disebarkan dengan cepat, meluas dan mudah melalui perantaraan media sosial seperti facebook, Whatsapp, Instragram dan sebagainya. Ditambah dengan sikap tidak mahu ketinggalan maka “berita sensasi” atau “berita panas” terus disebarluaskan dan ditokok tambah tanpa usul periksa sama ada berita tersebut benar atau berita berunsur fitnah.

Ketahuilah bahawa fitnah merupakan perbuatan keji yang dikutuk oleh syarak dan salah satu daripada dosa-dosa besar. Bahkan Rasulullah SAW menjelaskan bahawa pembuat dan penyebar fitnah adalah sekeji-keji manusia di atas muka bumi ini seperti sabda Rasulullah SAW:

“Sekeji-keji manusia ialah mereka yang berjalan menabur fitnah, mereka melaga-lagakan di antara insan yang berkasih sayang dan mereka yang mencari-cari kesalahan terhadap orang yang tidak bersalah.” (HR Ahmad).

Perbuatan menyebarkan sesuatu berita fitnah tanpa menyelidik terlebih dahulu kebenarannya (tabayyun) adalah perbuatan yang menyengajakan dirinya untuk terjerumus ke dalam neraka seperti sabda Rasulullah SAW:

“Seorang hamba apabila dia bercakap tentang satu perkataan yang dia sendiri tidak selidiki (akan kebenarannya), maka dia akan tergelincir ke dalam neraka yang jauhnya adalah sejauh arah timur.” (HR Bukhari: 6477).

Banyak kejadian fitnah yang tidak terduga berlaku pada hari ini. Ia bukan sahaja melibatkan golongan individu, malah kepada sesuatu organisasi, lebih-lebih lagi yang terkait dengan isu kesihatan dan pandemik Covid-19. Walaupun sudah dijelaskan beribu kali, tetapi masih ada yang lebih mempercayai fitnah daripada fakta.

Firman Allah SWT:

“Dan janganlah engkau (berkisar daripada pendirianmu yang benar dan jangan) menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendapatnya dan amalannya), pindah percakapan orang kerana untuk merosakkan orang. Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah-belahkan orang ramai).” (QS al – Qalam: 10-11).

Seharusnya di dalam hal ini, kita perlu kaji dan selidik sesuatu perkara yang disampaikan dengan lebih tepat. Bukan hanya percaya dengan mesej berantai ataupun “headlight” yang diberikan. Bukankah lebih elok jika kita menggunakan platform media rasmi pihak berkenaan untuk bertanya tentang kesahihan perkara tersebut? Mengapa perlu ditambah lagi dosa?

Ingat! Menyebar berita palsu dan memfitnah adalah dosa besar. Carilah fakta kesahihan sesuatu berita dan bukan sebarkan auta. Penyakit hati ini perlu segera diperbaiki bagi mengelakkan keruntuhan perpaduan ummah yang lebih serius.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan