Mencari dan menuntut ilmu pengetahuan adalah suruhan yang wajib dilaksanakan oleh setiap individu muslim. Seseorang yang jahil tidak dapat membezakan antara kebenaran dengan kebatilan kerana ianya amat berbeza antara satu sama lain. Bagi mengenalpasti antara kebenaran dan kebatilan, seseorang itu mesti mempunyai ilmu dan menghayati kebenaran tersebut. Disamping dapat mengenalpasti kebenaran, seseorang itu hendaklah juga mengetahui ciri-ciri kesesatan supaya tidak tergelincir ke dalamnya.
Allah SWT telah menyatakan Islam sebagai agama kebenaran, jalan yang lurus dan jalan yang boleh mencapai keredhaanNya. Jalan ini mestilah dilalui oleh setiap hamba Allah yang ingin mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Bagi membezakan antara jalan yang benar dan sesat, seseorang itu hendalah melengkapkan dirinya dengan ilmu pengetahuan dan mengkaji serta menghayati ilmu-ilmu tersebut dengan penuh rasa keinsafan dan hati terbuka.
Baginda Rasulullah SAW telah mengajarkan umatnya satu doa supaya diberi keteguhan hati dan pegangan terhadap ajaran Islam dan menjauhi diri dari kesesatan. Doa yang dibaca Rasulullah SAW adalah seperti berikut yang bermaksud: “Wahai Tuhanku, tetapkanlah hatiku di atas agamaMu dan ketaatan kepadaMu”.
Dalam hal ini, ilmu yang benar adalah penting untuk dijadikan sebagai panduan, bukan yang mengelirukan dan bukan meragukan. Pengertian ilmu dalam konteks ini dijelaskan oleh Imam al-Ghazali adalah:
“Ilmu yang sesungguhnya ialah tersingkapnya sesuatu yang jelas, sehingga tidak ada lagi ruang untuk ragu-ragu, tidak mungkin salah atau keliru; tidak ada tempat di hati untuk itu. Keimanan dari bahaya salah atau keliru harus diperkuat dengan keyakinan demikian rupa sehingga andaikata disangkal oleh seseorang yang mempunyai kesaktian, yang misalnya dapat merubah tongkat menjadi ular, namun demikian itu tidak akan menimbulkan ragu-ragu sedikitpun terhadap keyakinan itu. Apa yang diketahui, apabila tidak seyakin itu, maka yang demikian bukanlah ilmu yang patut menjadi pegangan dan tidak ada rasa aman di dalamnya. Dan setiap ilmu yang tidak memberi rasa aman bukanlah ilmu yang yakin”.
Kesimpulannya, ilmu yang benar adalah satu-satunya ilmu yang berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah. Maka, pegang teguhlah ia agar tidak terjerumus ke lembah kesesatan dan kejahilan.
Sumber: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus