Home Ajaran Sesat AWAS DENGAN AJARAN SESAT!!! JANGAN MUDAH TERPEDAYA DENGAN TAKTIK ‘TOK GURU’ YANG...

AWAS DENGAN AJARAN SESAT!!! JANGAN MUDAH TERPEDAYA DENGAN TAKTIK ‘TOK GURU’ YANG MEMPAMERKAN ‘KEAJAIBAN’, KEHEBATAN DIRI ATAU SEOLAH-OLAH ALIM TETAPI SEBENARNYA PENUH DENGAN PENIPUAN YANG MENYESATKAN

526
0

Ajaran sesat memang telah dikesan sejak dahulu lagi dan pengaruhnya meresap masuk ke dalam masyarakat Islam menerusi gerakan batiniah atau yang bertopeng disebalik nama tarikat-tarikat Sufiah. Ajaran tersebut secara lazimnya bergerak secara berkumpulan dan diketuai oleh guru atau pembawa ajaran itu yang dianggap mursyid serta kononnya mempunyai martabat yang tinggi pada pandangan pengikutnya.

Guru itu sendiri adakalanya menggunakan ilmu batiniah untuk meyakinkan pengikut-pengikutnya seperti menunjuk kekebalannya, mengeluarkan air dari jari, boleh merawat penyakit ganjil dan sebagainya. Ada juga yang mendakwa boleh menghilangkan diri (ghaib) dari pandangan orang ramai, pergi ke suatu tempat dalam sekelip mata, mikraj ke langit beberapa kali, pergi bertemu Rasulullah SAW untuk menerima ajarannya dan sebagainya dengan tujuan untuk mendapatkan kepercayaan orang ramai supaya menjadi pengikutnya.

Selalu juga taktik yang digunakan untuk mempengaruhi pengikut ialah dengan mengemukakan pertanyaan-pertanyaan untuk memerangkap kemudian membiarkan orang itu dalam keadaan tertanya-tanya untuk beberapa kali. Contohnya:
i- Kenapa Allah memfardhukan sembahyang zohor empat rakaat, tidak tiga atau dua?
ii- Apa maksud ‘Ba’ dalam awal ayat Bismillahirrahmanirrahim?
iii- Apa Muhammad awal dan Muhammad akhir?
iv- Nama Allah yang diketahui umum ialah 99, apakah nama Allah yang ke 100?

Pertanyaan yang direka-reka itu secara tidak langsung telah menimbulkan rasa ingin tahu dalam hati orang yang dipengaruhi itu kerana sebelum itu mereka belum pernah mendengar dari guru-guru agama atau para ulama yang lain. Untuk mengetahui jawapan tersebut, seseorang itu mestilah memenuhi syarat tertentu seperti berikrar tidak akan mendedahkan rahsia pengajarannya, mematuhi semua arahan guru tanpa bantahan dan lain-lain syarat termasuk meminum air jampi.

Keengganan mematuhi syarat-syarat yang diberikan itu menyebabkan seseorang itu dianggap tidak layak menerima ilmu yang disifatkan sebagai ‘inti’ dari segala agama. Begitulah cara yang selalu dilakukan oleh pembawa ajaran sesat supaya ajarannya tidak bocor ke pengetahuan orang ramai yang dikira bukan ahlinya.

Sumber:Buku Memerangi Ajaran Sesat – Majlis Agama Islam Kelantan