Home Liberalisme BAHAYA PEMIKIRAN LIBERAL SITI KASIM!!! HALANG JUAL ARAK, MALAYSIA AKAN MENJADI SEPERTI...

BAHAYA PEMIKIRAN LIBERAL SITI KASIM!!! HALANG JUAL ARAK, MALAYSIA AKAN MENJADI SEPERTI TALIBAN????

2259
0

Pada hari ini, apabila perkembangan pemodenan semakin pesat, maka ia telah membawa pemikiran baru yang dipengaruhi oleh idea-idea kebebasan berfikir yang membentuk satu pemikiran baru di mana luarannya nampak seperti Islam akan tetapi dalamannya terkandung pengaruh Barat yang bertentangan dengan syariat Islam yang sebenar.

Golongan ini beranggapan hukum-hukum Islam adalah melanggar hak-hak asasi manusia bahkan ia tidak sesuai dengan peredaran zaman serta mengongkong penganutnya.

Sebagai contoh, dalam kes terbaru di mana seorang peguam dan juga aktivis yang merupakan Pengasas Malaysian Action for Justice and Unity (MAJU), Siti Zabedah Kasim, dikatakan lantang bersuara mengecam tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang tidak lagi membenarkan penjualan arak di kedai serbaneka, kedai runcit, kedai ubat tradisional kecuali bagi tujuan ubatan tradisional.

Siti Kasim yang sememangnya mengaku bahawa dia adalah berfahaman liberal turut mendakwa keputusan tersebut mungkin dipengaruhi oleh golongan aktivis pro Islam dan menyamakan tindakan tersebut dengan negara Taliban kerana telah mencabul hak-hak kemanusian.

Pemikiran seperi inilah yang dikatakan sebagai pemikiran ‘modernisme’ dan cuba memberikan satu tafsiran Islam yang baru mengikut konsep humanisme, hak dan kebebasan individu yang dikatakan sangat sesuai dengan dunia moden.

Pemikiran begini adalah pemikiran yang sangat bahaya kerana ia boleh mempengaruhi masyarakat Islam yang jahil agama bahawa agama Islam itu seolah-olah tidak lengkap, mengongkong kebebasan individu dan tak sesuai dengan keadaan masa kini yang moden.

Golongan yang berfikiran begini sebenarnya adalah golongan yang terpengaruh dengan pemikiran liberal dan sekularisme Barat yang banyak menyandarkan hujah-hujah mereka berdasarkan akal dan hujah-hujah orientalis Barat yang sama sekali bertentangan dengan agama Islam.

Hujah-hujah yang menjadi pemahaman mereka adalah mengenai hak kebebasan sosial dan falsafah sekularisme Barat yang tenyata sama sekali amat bercanggah dengan ajaran Islam. Pemikiran liberal inilah yang sedang berkembang mempengaruhi masyarakat umat Islam masa kini terutamanya golongan muda yang semakin jauh daripada kefahaman agama yang benar dan semakin hanyut dalam arus kesesatan sekularisme Barat.

Atas alasan ‘kemajuan’, golongan liberal ini menolak hujah-hujah ulama yang terdahulu, nas-nas dari al-Quran dan hadis dengan alasan tidak sesuai diguna pakai pada abad ini. Golongan liberal ini, meskipun masih mengatakan mereka Islam, namun pemikiran mereka sebenarnya seiring dengan pemikiran liberalisme Barat yang mengganggap jika umat Islam berpegang kepada agama yang difahami oleh ulama-ulama terdahulu dalam mentafsirkan al-quran dan hadis, maka umat Islam ini akan menjadi jumud dan mundur ke belakang seperti yang berlaku hari ini.

Oleh itu, menurut pemikiran golongan liberal (Islam liberal) ini, pemikiran umat Islam dan ketamadunan Islam akan bertambah maju seiring dengan kemajuan sekularisme Barat jika ditafsir semula mengikut kesesuaian semasa dan mengikut perkembangan kemajuan Barat masa kini. Pemikiran liberal beginilah yang dibawa oleh Siti Kasim dan golongan liberalisme yang lain yang sangat bahaya kerana ia bercanggah dengan ajaran Islam tetapi berjaya meresapi golongan muda Islam yang terlalu lemah dalam pegangan akidah Islam mereka akibat jahil dalam agama.

Perkara ini perlu diberi perhatian oleh umat Islam di negara ini dan perlu diambil tindakan oleh pihak yang berwajib supaya ia tidak berkembang dan akan menggugat kesucian agama Islam di negara ini.

Oleh itu, tindakan tegas perlulah diambil terhadap sesiapa sahaja yang dikatakan telah menghina agama Islam tidak mengira pangkat atau jawatan. Sekiranya suasana ini berterusan dikhuatiri akan mempengaruhi dan menimbulkan salah faham dalam pemikiran umat Islam yang lain.

Selain itu, setiap individu Islam juga perlu lebih berhati-hati dan cuba membatasi diri daripada mendekati golongan yang berfahaman liberal ini kerana secara jelas golongan liberal ini akan mengakibatkan seseorang itu semakin jauh dari ajaran Islam yang benar dan akhirnya akan menyesatkan atau memurtadkan seseorang Muslim itu.

Sumber: Kertas Seminar Antarabangsa Aqidah & Pemikiran Islam, suaramerdeka.com.my- 18 November 2020.