Home Kemanusiaan/Motivasi TREND MERAMAL – RAMAL HARI KIAMAT: USAH MUDAH TERPENGARUH ‘NUJUM’ MEDIA SOSIAL

TREND MERAMAL – RAMAL HARI KIAMAT: USAH MUDAH TERPENGARUH ‘NUJUM’ MEDIA SOSIAL

150
0

Trend meramal kejadian hari kiamat di media sosial bukanlah satu perkara yang baharu. Malah ia sudah dilakukan sejak zaman dahulu lagi. Namun ia semakin rancak diperkatakan kembali di laman media sosial sejak konflik di antara P4lestin dan Isr43l bermula sejak 7 Oktober lalu. Semua umat Islam mempercayai dan beriman bahawa suatu hari nanti akan berlakunya kiamat kerana ia merupakan salah satu daripada rukun iman yang wajib bagi umat Islam beriman dengannya. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya hari Kiamat itu tetap akan datang (yang Aku sengaja sembunyikan masa datangnya) supaya tiap-tiap diri dibalas akan apa yang dia usahakan.” (QS At – Taha: 15).

Namun, apa yang menyedihkan adalah sesetengah golongan individu ini yang suka meramal – ramal tentang kejadian kiamat berdasarkan situasi yang terjadi pada hari ini. Memang benar kita sudah menghampiri di fasa akhir zaman yang terakhir, akan tetapi ia bukanlah lesen bagi kita untuk memandai – mandai dalam meramal apa yang terjadi. Bukankah ini semua rahsia Allah SWT melalui surah di atas? Bahkan Rasulullah SAW yang menjadi kekasih Allah SWT pun tidak mengetahui bila kiamat bakal terjadi. Bahkan Baginda juga bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud:

“Jarak diutusnya aku dan hari Kiamat seperti dua (jari) ini.” Baginda memberikan isyarat dengan kedua jarinya (jari telunjuk dan jari tengah), lalu merenggangkannya.” (HR Bukhari dan Muslim).

Ini seperti dalam sebuah video yang dimuatnaik di platform TikTok, di mana satu kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang penceramah yang mengatakan kononnya bahawa sebilangan golongan sheikh telah bermimpi bahawa akan ada peristiwa yang besar bakal berlaku pada tahun 2024. Apabila ditanya apakah peristiwa itu, jawapannya mudah “tengoklah nanti”.

Sebagai umat Islam yang berada pada akhir zaman, kita hendaklah berpegang teguh dengan al-Quran dan Hadis Nabi SAW serta rujuklah kepada para alim ulama sekiranya kita mempunyai kemusykilan atau pertanyaan. Elakkan dan jauhilah daripada bertanya kepada orang yang tidak berkeahlian dalam bidang agama. Jangan mudah terpengaruh dengan dakwaan dan ramalan yang berlegar di media massa. Persiapkan diri dengan ilmu dan amal agar kedua-dua perkara ini akan menjadi benteng dan perisai untuk diri kita daripada perkara yang boleh merosakkan kepercayaan dan keimanan.

Justeru, marilah sama-sama kita meningkatkan amalan dan memperbanyakkannya dengan penuh keikhlasan agar kita membawa bekalan sebaik-baiknya di hadapan Allah pada hari akhirat kelak. Benarlah firman Allah SWT:

“Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah).” (QS al – Baqarah: 197).

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan