Penghinaan terhadap Islam bukanlah menunjukkan kepada kehinaan agama itu sendiri kerana hakikatnya Islam itu mulia dan tiada yang mengatasi kemuliaannya. Penghinaan itu sebaliknya menunjukkan kepada hal keadaan umat Islam itu sendiri yang sudah kehilangan maruah diri. Rasulullah SAW ada bersabda mengenai umat akhir zaman dan menyifatkan umat Islam umpama buih-buih di lautan. Walaupun banyak memutih akan tetapi tiada siapa yang mengambil kisah kewujudannya apatah lagi menghormatinya, tidak mampu mencorakkan keadaan malah hanya mengikut arus sekeliling.
Hal inilah yang terjadi pada seorang pempengaruh yang beragama Islam di Indonesia. Disebabkan obses untuk meraih tontonan yang tinggi, sanggup menggadaikan agama dengan memakan makanan haram demi ‘content’. Bukan itu sahaja, malah pempengaruh tersebut turut membaca basmalah sebelum memakan kulit babi. Inilah yang dimaksudkan dengan ‘buih di lautan’. Apabila hanya membawa Islam berasaskan nama dan di dalam kad pengenalan, namun tidak mengamalkan ajaran yang benar itu, maka halal haram pun tidak mampu dibezakan.
Penyusupan fahaman liberal yang memudahkan-mudahkan syariat berasaskan tafsiran akal sendiri menjadi salah satu punca umat Islam kini semakin hilang pertimbangan mempertahankan akidah demi mengikut arus sekularisme yang mementingkan populariti dari hukum agama. Sedarlah bahawa maruah Islam terletak di tangan umatnya sendiri, maka kenal pastilah keaiban diri yang tersembunyi untuk dihapuskan. Hanya dengan cara inilah nasib umat Islam akan dapat diubah dan dipulihkan.
Sumber: Kosmo 20 Sep 2023 dan ikim.gov.my