Home Ajaran Sesat KEKELIRUAN UMAT ISLAM TERHADAP MEKANISME AJARAN SESAT UNDANG PADAH PADA AKIDAH

KEKELIRUAN UMAT ISLAM TERHADAP MEKANISME AJARAN SESAT UNDANG PADAH PADA AKIDAH

64
0

Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah golongan yang mengikuti pegangan Nabi SAW atau mengikuti jalan hidup Baginda dan para Sahabat terutamanya khulafa ar-Rasyidin mengenai akidah, syariah serta akhlak yang dibawa sejak zaman Nabi SAW.

Meskipun jelas dinyatakan bahawa perkara yang bertentangan dengan al-Quran, as-Sunnah, ijmak, qiyas serta pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah sesat, namun kadang kala masyarakat didapati keliru dengan apa yang dimaksudkan ajaran sesat terutamanya golongan muda dan tidak mempunyai asas dalam agama Islam.

Oleh itu, amatlah penting bagi umat Islam untuk mengambil cakna dalam mengenali ciri-ciri ajaran sesat supaya tidak mudah terpedaya, dipujuk rayu oleh pemimpin ajaran sesat yang akhirnya terjebak ke lembah syirik. Antaranya ialah:

1. Mempersenda, menghina dan mengubah isi kandungan al-Quran;

2. Mempersenda, menghina dan ingkar syariat Nabi Muhammad SAW;

3. Menyamakan agama Islam dengan agama lain;

4. Mencela dan mengkafirkan para isteri serta Sahabat Nabi SAW;

5. Menyerah diri, harta, keluarga kepada ketua kumpulan sahaja;

6. Menjadikan silat sebagai wasilah bagi mendapat pengikut;

7. Mengaku sebagai Imam Mahdi; dan sebagainya.

Kepelbagaian sudut tipu helah sebagaimana ciri-ciri ajaran sesat dinyatakan ini telah banyak mempengaruhi mangsa. Sekiranya perkara ini terus dibiarkan berlarutan, ia pasti menggoncang keselamatan negara. Maka, perlu ada satu mekanisme tuntas dalam menyelesaikan isu ajaran sesat ini dengan mendidik dan membimbing umat Islam dari kecil lagi. Jangan hanya berpeluk tubuh bagi memastikan ajaran sesat dapat dibanteras ke akar umbi sebelum menjadi barah.

Sumber: Majlis Agama Islam Selangor