Syiah apabila disebut pada hari ini ialah golongan yang mengagung-agungkan Saidina Ali r.a dan menganggap beliau pengganti Rasulullah SAW sebagai khalifah. Saidina Abu Bakar dan para Sahabat Nabi SAW yang lain dianggap sebagai perampas dan pengkhianat terhadap wasiat Rasulullah SAW.
Antara faktor-faktor kemunculan ajaran sesat Syiah ini adalah:
i. Kewafatan Rasulullah SAW
- puak Syiah berpendapat bahawa Saidina Ali r.a yang mempunyai talian darah dengan Rasulullah SAW adalah lebih berhak menjadi khalifah selepas kewafatan Rasulullah SAW berbanding para Sahabat;
ii. Kemunculan Pergerakan Abdullah bin Saba’ - beliau adalah seorang yahudi dari Yaman dan pengasas Syiah al-Sabaiyah yang merupakan Syiah pelampau. Beliau telah berpura-pura memeluk Islam pada zaman Saidina Uthman r.a dan menjelajah ke kota-kota Islam dalam percubaannya untuk menyesatkan umat Islam;
iii. Peperangan Siffin dan Majlis Tahkim; - puak Khawarij menentang Saidina Ali r.a dalam peristiwa Tahkim. Mereka menyatakan bahawa khalifah itu adalah hak umum kepada semua muslimin, bukannya hanya untuk bangsa tertentu sahaja seperti bangsa Arab. Puak Syiah pula sememangnya berkeras untuk melantik khalifah dari kalangan ahlul bait dari keturunan Saidina Ali r.a sahaja;
iv. Pembunuhan Hussein r.a - selepas peristiwa menyayat hati ini , terma Syiah mula digunakan untuk merujuk kepada mereka yang taksub kepada Saidina Ali r.a dan keturunannya.
Selain itu, disebabkan mereka mempercayai imam mereka adalah maksum (tidak mempunyai dosa), mempercayai kemunculan Muhammad bin Hasan al-Askari sebagai Imam Mahdi, mempercayai hanya Saidina Ali r.a sahaja yang menghimpun al-Quran dengan sempurna lalu menolak al-Quran yang disusun para Sahabat sebagaimana yang ada pada hari ini, menyamaratakan Saidina Ali r.a dengan Allah SWT, menghalalkan nikah mut’ah dan seumpamanya, maka fahaman Syiah ini adalah bercanggah dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Sumber: Mufti Selangor