Home Kemanusiaan/Motivasi ZAKAT FITRAH LAKSANAKANLAH RUKUN ISLAM KEEMPAT SELARAS DENGAN KEIMANAN UMAT ISLAM

ZAKAT FITRAH LAKSANAKANLAH RUKUN ISLAM KEEMPAT SELARAS DENGAN KEIMANAN UMAT ISLAM

55
0

Setiap tahun apabila tibanya bulan Ramadan, selain daripada mengerjakan ibadah puasa sebagai syarat bagi rukun Islam ketiga, kita juga akan melaksanakan rukun Islam keempat iaitu menunaikan zakat. Zakat fitrah adalah zakat yang diwajibkan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan Muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang tertentu. Kadar dan jenis zakat fitrah ialah segantang makanan asasi penduduk negeri tempat seseorang mukallaf itu bermukim. Hal ini juga berdasarkan hadith daripada Abi Sa’id al-Khudri R.A katanya:

“Pada zaman Rasulullah SAW kami mengeluarkan zakat fitrah pada hari raya sebanyak segantang makanan. Gandum, kismis, keju dan tamar ialah makanan kami.” (HR Bukhari).

Mengeluarkan Zakat Fitrah hukumnya adalah wajib ke atas setiap orang Islam yang merdeka dan mampu mengeluarkannya pada waktunya.Orang Islam adalah meliputi golongan tua dan muda, lelaki atau perempuan dan berakal atau tidak.

Syarat wajib bagi individu dalam menunaikan zakat fitrah adalah Islam dan merdeka, mempunyai harta yang lebih daripada keperluan perbelanjaannya untuk dirinya dan orang-orang di bawah tanggungannya pada hari raya dan malamnya dan wajib menunaikan zakat fitrah apabila terbenam matahari pada akhir Ramadan.

Antara fadhilat mengeluarkan zakat fitrah ialah:

  1. Menampung kekurangan semasa berpuasa.
  2. Membantu fakir dan miskin pada Hari Raya. Rasulullah SAW bersabda:

“Kayakanlah mereka (fakir miskin) daripada meminta-minta pada hari ini (Hari Raya).” (HR Bukhari).

Antara waktu mengeluarkan zakat fitrah:

  1. Waktu harus: iaitu bermula dari awal bulan Ramadan sehingga akhir bulan Ramadan.
  2. Waktu wajib: iaitu selepas terbenam matahari pada akhir bulan Ramadan.
  3. Waktu afdhal: iaitu selepas solat Subuh pada hari akhir Ramadan sehingga sebelum mengerjakan
    solat sunat Aidilfitri.
  4. Waktu makruh: iaitu selepas solat sunat Aidilfitri sehingga sebelum terbenam matahari.
  5. Waktu haram: iaitu selepas terbenam matahari pada hari raya Aidilitri.

Oleh itu, laksanakanlah zakat fitrah yang telah diwajibkan ke atas kita. Sucikanlah harta dari sebarang unsur yang meragukan dengan berzakat. Dengan berzakat rezeki bertambah berkat. Firman Allah SWT:

“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (QS At – Taubah: 103).

Sumber: Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ)