Tinggal berberapa jam sahaja lagi umat Islam akan menyambut ketibaan bulan mulia iaitu bulan Ramadhan. Akan tetapi dalam keghairahan kita untuk menyambutnya, apakah kita sudah bersedia untuk menyucikan hati dan jiwa kita? Jangan kerana keghairahan kita menyambut bulan Ramdhan, tetapi hati, jiwa dan minda kita masih di takuk lama, masih ada perasaan ‘hitam’ yang masih bersarang di hati. Sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika sekiranya daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya. Namun, jika seandainya daging tersebut rosak, maka rosaklah seluruh anggotanya. Daging yang dimaksudkan adalah hati”. (HR Bukhari dari Nu’man bin Basyir).
Saban tahun, seluruh umat Islam memperbaharui azam dan niat mereka untuk menjadi seseorang yang lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. Ada yang berjaya namun tidak sedikit juga yang kurang berjaya. Di mana silapnya? Mungkin ada diantara kita masih lagi terikut dengan sikap-sikap tersebut yang menjadi faktor mengapa gagalnya diri kita untuk menjadi seorang yang baik:
1-Suka melihat maksiat.
2-Suka melihat najis.
3-Suka bercakap kotor.
4-Suka berfikiran kotor.
5-Tidak solat.
6-Tidak baca al-Quran
7-Tidak bertahajjud.
8-Tidak berzikir.
9-Tidak berdoa.
10-Sombong dan angkuh.
Lalu, bagaimana kita mahu hapuskan sikap-sikap sebegini agar kita boleh menjadi seseorang yang baik pada Ramadhan kali ini? Secara jujurnya bukan mudah. Kita wajib berniat untuk merubah diri kita dengan bersungguh-sungguh selain mendisiplinkan diri, berusaha dengan kuat dan istiqamah yang berterusan untuk melihat hasilnya. Tapi bagaimana? Dengan cara membersihkan hati, segala aspek kehidupan ini bermula daripada hati. Perbanyakkan amalan yang baik seperti solat taubat, sedekah, membaca al-Quran, bermaaf-maafan sesama manusia, menjaga panca indera dan banyak lagi. Dengan itu, barulah kita dapat mensucikan hati dan membersihkan jiwa. Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya syaitan itu tidak ada kekuasaannya atas orang-orang yang beriman dan bertawakkal kepada Tuhannya.” (QS al-Nahl: 99).
Oleh itu para Muslimin dan Muslimat sekelian, sempena kehadiran bulan Ramadhan yang mulia bagi tahun 1442 Hijrah ini, marilah kita sama-sama melakukan satu ‘turning point’ di dalam diri kita untuk mengubah akhlak kita kepada yang baik kepada yang lebih baik. Kerana seorang umat Islam itu dianggap Muslim yang unggul jika dia mampu menjaga akhlak, adab dan ikhtilatnya secara berdisiplin dan istiqamah. Ini kerana menurut sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Antara tanda keIslaman seseorang sudah baik, dia mampu meninggalkan hal-hal yang tidak berguna baginya.” (Sunan Tirmizi dan Ibnu Majah)
Sumber: FB Page / Bersihkan hati, hiasi peribadi dan Harian Metro “Formula bersih hati” (25 Januari 2020)