Home Ajaran Sesat 3 FAKTOR MEMPENGARUHI MASYARAKAT UNTUK TERJEBAK DALAM AJARAN SESAT: MITOS KEHEBATAN GURUNYA,...

3 FAKTOR MEMPENGARUHI MASYARAKAT UNTUK TERJEBAK DALAM AJARAN SESAT: MITOS KEHEBATAN GURUNYA, ILMU PERSILATAN YANG DIYAKINI MEMBERI KEKUATAN DAN KUASA PERBOMOHAN YANG DIANGGAP LUAR BIASA

1739
0

Selain penisbahan tarekat, golongan ajaran sesat juga mencipta mitos untuk meyakinkan pengikut mereka tentang kehebatan ‘tok guru’ mereka. Mereka mencipta pelbagai cerita. Antaranya seperti ‘tok guru’ mereka handal bersilat, berilmu kebal, boleh melayang di udara, boleh ghaib serta boleh melakukan pelbagai perbuatan yang luar biasa.

Kebiasaannya, cerita rekaan atau dongengan ini disampaikan oleh murid kanan atau mereka yang lebih senior dalam sesuatu ajaran. Mereka juga menampilkan beberapa individu sebagai saksi atas keterangan mereka. Bagi mereka yang mempunyai asas agama yang lemah cerita sebegini sedikit sebanyak mempengaruhi minda mereka. Tetapi bagi mereka yang memiliki asas agama yang kuat cerita sebegini ditolak berasaskan mekanisme syariat yang jelas.

Golongan ajaran sesat juga menjadikan persilatan sebagai senjata perjuangan mereka. Pelbagai jenis silat dan ilmu pertahanan diri diperagakan. Adakalanya bertepatan dengan kehendak agama. Iaitu silat yang berlandaskan kepada aturan tenaga fizikal dan spritual serta dipelajari secara benar untuk mempertahankan diri. Selain itu, banyak pula seni silat yang bertentangan dengan Islam diajarkan. Antaranya seperti amalan bersilat dengan memanggil roh, silat kebatinan tradisional yang bercampur dengan kepercayaan lain, silat berunsur jampi serapah yang bertentangan dan banyak lagi.

Unsur perbomohan juga adalah merupakan satu unsur yang sinonim di dalam aktiviti ajaran sesat. Unsur bid‘ah dan kepercayaan khurafat digunakan untuk menyembuhkan pesakit. Kebanyakannya proses pengubatan menggunakan makhluk halus seperti jin dan seumpamanya. Lantaran itu, kita selalu mendengar kalimah jampi serapah yang pelik-pelik, pelbagai bahasa, nama individu, panglima atau tokoh tertentu turut diseru. Kesempatan itu dipergunakan mereka bagi mempengaruhi emosi pesakit supaya mempercayai bahawa amalan yang dilakukan oleh bomoh berkenaan benar-benar berkesan.

Sumber: Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)