Home Kemanusiaan/Motivasi PERSIAPAN MENUJU RAMADHAN: BERMUHASABAH DAN PERBAIKILAH DIRI UNTUK MENJADI HAMBA ALLAH YANG...

PERSIAPAN MENUJU RAMADHAN: BERMUHASABAH DAN PERBAIKILAH DIRI UNTUK MENJADI HAMBA ALLAH YANG LEBIH BAIK DEMI MERAIH KEREDHAAN ALLAH SWT

1653
0

Sedar ataupun tidak, tinggal 17 hari lagi kita hendak memasuki ke bulan Ramadhan, bulan yang penuh berkah dan bulan keampunan serta bulan seribu rahmat. Apa persediaan kita menjelang satu Ramadhan ini? Berazam untuk berpuasa penuh, solat terawih di masjid setiap malam ataupun beriktikaf di malam lailatul qadar? Semua itu memang perlu, namun ada perkara penting yang lebih perlu diutamakan, iaitu memperbaiki diri sendiri ke arah yang lebih baik.

Jika dahulu kita bersikap dingin, sombong, angkuh dan tidak mempunyai sifat empati di dalam diri, pada kali ini cubalah kita membuat satu ‘turning point’ dan berazam untuk menjadi hamba Allah SWT yang lebih baik. Apa gunanya jika kita melakukan segala kewajipan fardhu ain seperti solat, puasa dan membayar zakat jika masih bersikap mazmumah seperti meninggi diri, memarahi orang sesuka hati, melakukan provokasi untuk kepuasan diri sendiri dan menimbulkan fitnah? Sia-sialah amalan yang dikerjakan selama ini. Adakah Allah SWT akan menerima orang yang jahat untuk berubah menjadi baik? Rasulullah SAW bersabda:

“Setiap manusia pernah berbuat salah. Namun yang paling baik dari yang berbuat salah adalah yang mahu bertaubat.” (HR Ibnu Majah: 4251)

Jika sebelum ini kita memutuskan silaturrahim dengan kaum kerabat dan sahabat handai kita, maka berlapang dadalah untuk kita sambung semula silaturrahim yang telah terputus itu. Ingatlah bahawa Allah tidak akan menerima amalan puasa kita jika kita memutuskan silaturrahim. Malah ancaman Allah untuk tidak akan memasukkan hambaNya ke dalam syurga bagi mereka yang memutuskan silaturrahim seperti sabda Rasulullah SAW:
“Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturrahim (hubungan kekeluargaan) (HR al-Bukhari).

Kita ini manusia biasa yang tidak sempurna. Namun kita diberi akal dan fikiran oleh Allah SWT untuk berfikir. Jadi, mari berfikir sejenak bagaimana untuk memulakan langkah merubah diri dari seorang individu yang dingin kepada seorang individu yang lebih baik. Mulakan dari sekecil-kecil langkah tetapi sentiasa kekal istiqomah. Sebagai contoh, jika dahulu kita amat payah untuk melemparkan senyuman, apa kata kita mulakan langkah dengan memberi senyuman kepada orang lain terlebih dahulu. Jika dulu kita tidak bertegur sapa maka kita mulakan langkah untuk menyapa terlebih dahulu. Hulurkan tangan tanda memohon maaf dan tanda salam silaturrahim. Itulah sifat yang mulia yang akan ditinggikan darjat kita di sisi Allah SWT kelak. Nampak mudah, tetapi tidak semua mampu melakukannya. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan suatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (QS. Ar Ra’d: 11)

Oleh itu, sempena kedatangan bulan Ramadhan 1442 Hijrah ini mari kita sama-sama ‘re-set’ kembali keperibadian kita daripada negatif kepada positif. Inilah waktu yang sangat sesuatu untuk kita semua bermuhasabah, iaitu menilai dan memperbaiki akan kesilapan dan apa jua kekurangan diri sendiri. Rasulullah SWT menyifatkan bahawa orang yang sentiasa bermuhasabah diri itu sebagai orang yang bijak. Daripada Syadad bin Aus R.A, Rasulullah SAW bersabda:

“Orang yang bijak adalah mereka yang bermuhasabah dirinya sendiri dan beramal untuk kehidupan selepas kematian.” (HR: Imam Tirmidzi).

Sumber: Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam dan Laman Web IDN Times (https://www.idntimes.com/life/inspiration/ganjar-firmansyah/12-kutipan-alquran-hadits-semangat-berhijrah-c1c2/12)