Home Kemanusiaan/Motivasi KEJADIAN KES DERA KANAK – KANAK SEMAKIN MENGGERUNKAN DI MANA NILAI EMPATI...

KEJADIAN KES DERA KANAK – KANAK SEMAKIN MENGGERUNKAN DI MANA NILAI EMPATI DARI MANUSIA KEPADA MANUSIA?!

228
0

Sejak kebelakangan ini, kita sering sahaja mendengar kejadian kes penderaaan kanak – kanak yang dilaporkan di media massa. Ada yang dapat diselamatkan, ada juga yang berhujung dengan kematian. Tidak kiralah penderaan itu datangnya tangan ibu bapa kandungnya, saudara maranya ataupun para pengasuh, yang pasti di mana nilai empati dari manusia kepada manusia khususnya golongan kanak – kanak?! Bukankah Islam sudah melarang dalam melakukan kezaliman kepada golongan yang lemah? Dalam hal ini, kanak -kanak dan bayi dikategorikan sebagai golongan yang lemah kerana tidak berdaya untuk melawan.

Islam sendiri sudah menggariskan hukum memukul anak hingga mendatangkan kesakitan, lebam dan kecederaan sama ada fizikal atau mentalnya. Jelas di sini bahawa hukumnya adalah haram jika memukul keterlaluan hingga mendatangkan kecederaan dan ini boleh termasuk dalam kategori zalim. Bahkan sekiranya alasan memukul itu hanya bertujuan untuk mendidik, Islam sendiri sudah menggariskan panduan dalam mendidik anak demi untuk mendisplinkan mereka.

Allah SWT sebenarnya sangat mengambil perhatian terhadap perbuatan zalim. Ini kerana, sekiranya perbuatan zalim atau penganiayaan tidak dibendung ia akan menyebabkan kerosakan kepada muka bumi ini. Sekiranya kezaliman berlaku di dalam sesebuah rumah tangga maka akan semakin besarlah bilangan isteri-isteri yang teraniaya dan semakin ramai anak-anak yang membesar tanpa perhatian yang akhirnya menjadi mangsa penderaan mental dan fizikal hingga menyebabkan kerugian kepada semua pihak termasuk diri sendiri. Allah SWT juga memberi amaran kepada pelaku kezaliman di dalam firmanNya yang bermaksud:

“Sekali lagi (diingatkan): Jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak akibatnya yang buruk pada hari kiamat)!” (QS At – Takathur: 4).

Ingatlah, perbuatan zalim tidak kiralah sama ada terhadap golongan kanak – kanak, orang tua ataupun golongan yang lemah, sebenarnya merupakan perbuatan yang sangat merugikan kepada si pelakunya. Orang-orang yang berlaku zalim akan menerima nasib yang sangat malang kerana kebaikan yang dimilikinya akan berpindah kepada orang-orang dizaliminya. Bahkan, sekiranya dia tidak mempunyai kebaikan, maka keburukan orang-orang yang teraniaya akan terlempar kepadanya dan akan ditanggung olehnya.

Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)