Kelmarin merupakan detik yang manis buat semua umat Islam apabila menyambut bulan Ramadan yang mulia. Ramai yang teruja menyambut kedatangan bulan seribu rahmat ini dengan hati yang gembira, ada yang bertekad mahu memperbaiki diri ke arah yang lebih baik dengan melaksanakan ibadah secara penuh. Namun, dalam kita menyambut kemanisan ibadah Ramadan, ada juga sebilangan dari kita yang masih terleka dengan urusan dunia.
Apa gunanya manfaat ibadah di bulan Ramadan bila mana ketika melakukan solat sunat tarawih tetapi dalam masa yang sama melakukan penstriman secara langsung di media sosial? Adakah “like” manusia lebih penting dari “like” Allah SWT? Jangan riak dalam beribadah, kerana Allah SWT sangat membenci sifat seperti itu. Firman Allah SWT:
(Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan ugama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang – (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya; (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya).” (QS Al – Ma’un: 4-6).
Ingatlah, ibadah di bulan Ramadan nikmat dan ganjarannya lebih berharga dari seribu bulan yang lain. Amatlah malang bagi kita jika sama sekali tidak merebut peluang untuk menghidupkan Ramadan sedangkan kita telah diberikan oleh Allah SWT dengan pelbagai nikmat dan kesihatan untuk memenuhi saranan ini. Sabda Rasulullah SAW:
“Barangsiapa yang mendirikan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan akan diampunkan baginya segala dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari).
Ramadan adalah bulan yang mulia dan penuh keberkatan. Penuhilah ia dengan pelbagai amalan. Tinggalkanlah sebentar urusan duniawi dan fokuslah untuk mengumpul seberapa banyak ganjaran pahala yang berganda di bulan yang mulia ini. Semoga Ramadan pada kali ini dapat memberikan seribu satu manfaat kepada diri kita, In shaa Allah.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan